Malaysia Berita

Fokus pemain : Kenali Edgar Bernhardt, pemain baharu Kedah

Semalam, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan telah mendapatkan pemain Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt sebagai pemain import baharu skuad Lang Merah menjelas fasa akhir perpindahan pemain pada 29 Mei ini.

Berita kemasukan pemain import baharu ini jelas menggembirakan penyokong pasukan Kedah selepas pemain import terdahulu, Anmar Al Mubaraki daripada Iraq dilaporkan telah mengalami kecederaan dan bakal berehat panjang.

“Beliau bakal mengisi kuota import Asia menggantikan Anmar Al Mubaraki yang masih dalam pemulihan kecederaan.

“Beliau yang beraksi di bahagian tengah akan memakai jersi bernombor 60 bagi baki musim 2019,” kata kenyataan yang dikeluarkan KFA.

Kemasukan Berndhat bakal menguatkan lagi bahagian tengah Kedah.

Kenali Edgar Bernhardt

Pemain berusia 33 tahun ini telah berkelana jauh dalam arena sukan bola sepak, dilahirkan pada 30 March 1986 di salah satu perkampungan kecil Novopavlovka, sekitar daerah Sokuluk di Kyrgyzstan.

Bernhardt adalah pemegang kerakyatan Jerman, Kyrgyzstan dan juga Rusia. Beliau telah berpindah ke Stemwede, Germany bersama-sama dengan keluarganya ketika mereka masih kecil.

Bermain diposisi tengah, beliau telah membuat debut pertamanya sebagai pemain bola profesional pada 10 Ogos 2007 bersama dengan kelab dari Belanda, FC Emmen setelah masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-55.

Beliau telah menyertai lebih daripada 17 pasukan, di mana terbaru, Kedah adalah pasukan ke 18 beliau. Beliau berkhidmat paling lama bersama-sama dengan Cracovia, pasukan daripada liga Poland. Dengan 55 penampilan bersama Cracovia dan telah meledak 8 gol sepanjang berada di sana daripada tahun 2012 sehingga tahun 2014.

Perjalanan karier beliau dalam kancah bola sepak antarabangsa pula bermula pada May 2015 apabila beliau dipanggil oleh ketua jurulatih, Aleksandr Krestinin untuk mewakili pasukan bola sepak Kyrgyzstan.

Beliau membuat debut pertamanya buat pasukan negara ketika menentang Bangladesh pada aksi kelayakan Piala Dunia Fifa 2018 dan menjadi amat manis bagi Bernhardt apabila berjaya menjaringkan gol dalam debutnya buat pasukan negara dalam aksi kemenangan 3-1 di Dhaka.

Setelah itu, beliau dilantik sebagai ketua pasukan Kyrgyzstan dan telah menjadi watak penting pada aksi negaranya dalam kancah Piala Asia 2019.