Malaysia Berita

Zonjic mahu penyokong turun ke stadium

Pertahanan import Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic merayu kepada para peminat agar turun ke stadium dan hentikan aktiviti memboikot perlawanan.

TFC bakal bertemu Selangor pada Jumaat ini dan beliau mengharapkan sokongan peminat menjelang pertemuan itu nanti.

“Bertemu Selangor sudah pastinya kami ingin memburu kemenangan kerana perlawanan ini sangat penting bagi kami lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

“Oleh itu kami perlukan penyokong untuk datang ke stadium kerana mereka kekuatan kami, tolonglah datang semula dan sokong kami serta hentikanlah boikot, tanpa peminat yang ramai, kami begitu terasa,” ujar Zonjic.

Beliau turut berjanji akan merantai setiap pergerakan penyerang baharu Selangor, Ifedayo Olesegun nanti.

“Saya tidak tahu sangat tentang penyerang baru skuad itu tetapi saya sudah bersedia untuk mengekang pemain itu dan juga pemain lain daripada bergerak bebas dalam kawasan bahaya,” katanya.