Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan jelas tidak gembira dengan aksi benteng pertahanan pada perlawanan menentang Kedah yang menyaksikan mereka pulang dengan tidak membawa sebarang mata apabila tewas 2-1 kepada Kedah semalam.
“Pada babak kedua ada kelonggaran sedikit dengan dua kesilapan dilakukan termasuk bola gagal dikeluarkan sehingga masuk ke gol sendiri dan akhirnya menghukum kami dengan jaringan lawan.
“Dua kesilapan dilakukan itu sepatutnya tidak boleh berlaku pada perlawanan kali ini kerana kami perlu lebih kemas terutama apabila bermain di tempat lawan.
“Saya kecewa atas kesilapan ini kerana kami mendahului di babak pertama dan sebelum ini saya sudah mengingatkan pemain supaya lebih fokus ketika menentang pasukan kuat seperti Kedah,” katanya.
Beliau juga akui Melaka turun dengan watak yang berbeza.
“Jika dibandingkan dengan perlawanan bertemu FELDA United sebelum ini, ada perbezaan kerana tiga pemain tidak dapat beraksi disebabkan kecederaan dan penggantungan.
“Selepas ini kita akan berhadapan Perak dan saya harap semua pemain dapat kembali mengukuhkan pasukan dan saya jangkakan kita akan susun dengan lebih baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.