Liga Super Malaysia Berita

Sathianathan rimas sikap sambil lewa pemain

Biarpun berjaya membenam Kedah pada minggu lalu, Selangor gagal mempamerkan aksi yang memberangsangkan ketika menentang PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Keputusan seri 1-1 jelas tidak mendapat reaksi positif daripada pengendali Selangor, B Sathianathan, malah beliau mengakui pemain Red Giants mempunyai masalah mental yang tidak cukup kuat dan konsisten.

“Ini satu penyakit, bila kita bertemu dengan pasukan tidak kuat dan dijangka tidak kuat, mentaliti pemain bermain sambil lewa, itupun kita dapat satu gol, selepas  itu kita rehat dah, tak nampak pergerakan yang selalunya berlaku.

“Saya kecewa dengan hantaran-hantaran kita, tidak sampai ke kaki, ada yang tersasar, ini padang yang cantik, saya selalu kritik pasal padang tetapi padang di stadium  ini saya puji… Tetapi bagi padang yang baik pun, kita tidak boleh buat hantaran, itu yang masalah.

“Pada separuh masa kedua pula, daripada tendangan percuma dan sepakan sudut, tidak membahayakan PKNP, kita tidak ambl peluang, PKNP pun ada peluang tidak dimanfaatkan juga, tetapi ‘set piece’ mereka lebih bahaya daripada kita.

“Tendangan percuma dan tendangan sudut kita macam kita bagi balik bola (kepada pemain lawan), ada yang tendang bola tidak sampai sasaran dan keluar sampai 50 meter, macam mana tu,” katanya.