Luar Negara Berita

Perjalanan Liverpool ke pentas akhir Liga Juara-Juara

Selepas dua kemunculan semula dalam sejarah bola sepak, Tottenham dan Liverpool akan berhadapan di final Liga Juara-Juara di Wanda Metropolitano di Madrid pada hari Sabtu 1 Jun.

Dua pasukan Inggeris ini bakal bertemu di final buat kali pertama sejak 2008, mengakhiri keunggulan Sepanyol yang telah memerintah bola sepak Eropah untuk kebanyakan dekad yang lalu.

Liverpool yang sebelum ini telah mengumumkan kerjasama mereka dengan salah satu jenama terbesar di Malaysia, Al Ikhsan telah menduduki tempat keempat dalam Liga Perdana musim lalu dan diletakkan di dalam Kumpulan C bersama PSG, Napoli dan Red Star Belgrade. Sama seperti Tottenham, mereka berjuang dalam peringkat kumpulan, mengumpul enam mata daripada lima perlawanan pembukaan mereka.

Drama Liverpool bermula sejak dari peringkat kumpulan lagi apabila terpaksa memenangi perlawanan terakhir menentang Napoli. Mohamed Salah menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan itu, memberikan kemenangan 1-0 kepada Reds dan mereka berjaya meraih tempat kedua dengan perbezaan gol di belakang PSG.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Dalam pusingan 16, anak buah Jurgen Klopp telah menentang Bayern Munich, satu lagi gergasi Eropah.

Perlawanan pertama di Anfield berakhir tidak seperti apa yang diimpikan oleh Liverpool apabila seri 0-0 dengan Bayern Muncih.

Pada perlawanan kedua yang lebih menghiburkan, Liverpool berjaya mengatasi Bayern dengan kemenangan 3-1.

Sadio Mane membuka jaringan selepas menghukum kesilapan Manuel Neuer, sebelum gol sendiri Joel Matip menghantar Liverpool seri pada separuh masa.

Virgil van Dijk menjaringkan gol pendahuluan pada separuh masa kedua dengan tandukan padu yang menewaskan Neuer sebelum Mane melengkapkan malam penuh gemilang buat Liverpool.

Seterusnya Liverpool berjumpa Porto pada saingan suku akhir Liga Juara-Juara dan mendapat kemenangan selesa ke atas kelab dari Portugal dengan kemenangan secara agregat 6-1 dan meletakkan mereka ke saingan separuh akhir, di mana pertemuan paling dinantikan bertemu Barcelona dan Lionel Messi.

Pada aksi bertemu Barcelona, Liverpool seolah-oleh terumbang ambing apabila melepaskan tiga gol tanpa balas. Anak buah Jurgen Klopp seolah hilang punca dengan gerakan menarik yang disajikan Barcelona dengan Suarez membuka jaringan sebelum Messi menjaringkan dua lagi gol bagi meletakkan Liverpool seolah-olah seperti tiada harapan.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Tetapi pada perlawanan timbal balik, Liverpool bangkit untuk memberi aksi yang sebenar. Dan disiplin mereka sepanjang perlawanan tersebut harus dipuji apabila turun dengan tidak ada tekanan biarpun sudah ketinggalan 0-3 sebelum ini.

Misi sukar berjaya direalisasikan Liverpool tanpa dua tonggak penting akibat kecederaan, Salah dan Firmino.

Para peminat Liverpool sentiasa percaya bahawa wira wujud dalam pelbagai bentuk dan Georginio Wijnaldum dan Divock Origi melangkah untuk membuktikan bahawa mereka mampu untuk mengatasi Barcelona dan akhirnya mereka berjaya menempah jalan ke pentas akhir dengan kemenangan besar 4-0.

Tarikh 1 Jun bakal menjadi saksi pasukan manakah yang bakal menjulang trofi keramat, Liga Juara-Juara Eropah.