Malaysia Berita

Enam anak muda kembali tersenarai

Berikut senarai nama 26 pemain dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 27 Mei 2019 bagi persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 Jun 2019 dan seterusnya perlawanan timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor-Leste di stadium sama pada 7 dan 11 Jun 2019.

Daripada senarai di atas, Cheng Hoe hanya mengekalkan 14 pemain dari skuad 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat sebelum ini iaitu bagi Piala AIRMARINE 2019 yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 1-0 kepada Singapura pada aksi pertama, 20 Mac 2019 sebelum bangkit menewaskan Afghanistan 2-1 pada 23 Mac 2019 untuk meraih tempat ketiga kejohanan antarabangsa empat negara yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Ia menyaksikan 11 pemain digugurkan Cheng Hoe untuk panggilan kali ini termasuk ketua pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak serta tiga lagi anggota skuad naib juara Piala Suzuki AFF 2018 iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan Ahmad Hazwan Bakri (JDT). Baki tujuh pemain lain yang turut digugurkan adalah Rizal Ghazali (Kedah), Abdul Latiff Suhaimi (Selangor), Hadin Azman (Felda United), S Kumaahran (JDT II), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Firdaus Saiyadi (Perak) dan Nicholas Swirad (PKNS FC).

Sebagai ganti, Cheng Hoe telah menyenaraikan enam pemain yang tidak dipanggil pada Mac lalu kerana bersama skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 iaitu empat pemain JDT – Safawi Rasid, Akhyar Rasid, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan serta Syahmi Safari (Selangor) dan Faisal Abdul Halim (Pahang).

Turut kembali tersenarai selepas nama mereka tiada dalam skuad Piala AIRMARINE 2019 adalah empat anggota skuad Piala Suzuki AFF 2018 iaitu penjaga gol, Farizal Marlias, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad (JDT) serta Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak).

Bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke kem latihan pusat kali ini, dua pemain baharu telah mendapat panggilan iaitu pemain berdarah campuran, La’Vere Corbin-Ong (JDT) dan Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC).

Selepas berlatih selama enam hari bermula 27 Mei ini, skuad Harimau Malaya yang kini di ranking ke-168 dunia akan bertemu Nepal, ranking ke-161 dunia pada Ahad, 2 Jun 2019 (28 Ramadan) di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan sepak mula jam 10.00 malam.

Seterusnya, tiga pemain akan digugurkan Cheng Hoe bagi memuktamadkan senarai akhir 23 pemain untuk dua perlawanan bertemu Timor-Leste, ranking ke-195 dunia iaitu aksi tempat sendiri di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat, 7 Jun 2019 (3 Syawal) dan aksi tempat lawan, juga di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2019 (7 Syawal). Sepak mula kedua-dua perlawanan jam 8.45 malam.

Jika berjaya mengatasi Timor-Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan akan berlangsung selama sembilan bulan untuk 10 hari perlawanan dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020. – FAM