Liga Super Malaysia Berita

Kedah vs Melaka United : Helang Merah, Hang Jebat beradu tenaga di Darul Aman

Kekalahan mengejut ke atas Selangor minggu lalu sudah pastinya diterima dengan pelbagai persoalan, adakah Selangor sudah bangkit daripada beberapa siri persembahan yang kurang baik atau adakah Kedah yang gagal memberikan aksi yang konsisten?

Tetapi walau apapun jawapannya, sebagai pemerhati bola sepak, kita dapat lihat perbezaan dua pasukan, di mana Selangor mempunyai kualiti yang baik di bahagian serangan setelah kemasukkan penyerang baharu Ifedayo Olusegun Omosuyi, manakala Kedah kebal di laman sendiri tetapi gagal memberi aksi yang konsisten jika bertandang ke laman lawan.

Aksi yang konsisten adalah sangat dituntut jika para pemain dan pasukan mahu meneruskan perjuangan mencabar Liga Super kerana ketinggalan dengan beberapa mata setelah beberapa aksi liga akan merencatkan perancangan pasukan.

Tambahan pula, konsistensi amatlah penting dalam memberi kepercayaan kepada para penyokong bahawa pasukan anda mampu untuk menentang pasukan yang lebih besar musim ini – Pahang atau Johor Darul Ta’zim.

Justeru, bagi pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menuntut anak buahnya agar bangkit daripada kekalahan mengejut ke atas Selangor minggu lalu di Stadium Shah Alam.

“Apa pun, ini bukannya penghujung buat segala-galanya dan kami perlu bangkit. Saya yakin pemain juga mahu pergi ke tempat yang mereka inginkan,” katanya.

Bagi pasukan pelawat, Melaka United semestinya mahu meneruskan aksi yang baik selepas membenam Felda United FC 6-0 minggu ini di Stadium Hang Jebat.

Sudah pastinya bertandang ke Stadium Darul Aman menentang Kedah bukanlah sesuatu yang dapat dijangka kemenangannya, tetapi jika para pemain hadir dengan fokus yang tinggi dan percaya dengan kemampuan mereka, segala-galanya mampu terjadi.

Kelibat Luka Milunovic yang berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan dengan Felda minggu lalu pastinya di tagih jurulatih pasukan, Zainal Abidin Hassan untuk meledak sekali lagi.

Biarpun telah melepaskan penyerang import kelahiran Brazil, Anselmo Casagrande yang bakal menyertai Pulau Pinang secara pinjama, Milunovic semestinya mampu menggalas cabaran yang ditinggalkan oleh Anselmo.