Liga Super Malaysia Berita

PKNS FC vs JDT : Harimau Selatan buru kemenangan ke 11

Johor Darul Ta’zim terus gah ditakhta Liga Super dengan 33 mata selepas 13 perlawanan liga dan jauh meninggalkan Pahang dengan 25 mata dan Selangor 21 mata.

Kemenangan ke atas musuh tradisi, Pahang minggu lalu nyata memberi nafas lega kepada pasukan JDT yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Argentina, Luciano Figueroa.

Biarpun terdapat kata-kata daripada pemerhati bola sepak tempatan dan juga media bahawa JDT bakal mengangkat trofi kejuaraan Liga Super lebih awal musim ini, beliau menafikan perkara itu dan mahu pemainnya terus fokus.

Dengan catatan 10 kemenangan dan tiga keputusan seri manakala tiada satu rekod kekalahan yang dicatatkan, JDT bukanlah lawan mudah buat PKNS FC minggu ini.

Rekod ini juga melambangkan bahawa betapa JDT sedia lengkap di setiap bahagian – pertahanan, tengah mahupun penyerang.

Tetapi bagi penjaga gol JDT, Farizal Marlias tetap menganggap PKNS FC bukanlah lawan mudah kerana mereka mampu untuk mencipta kejutan dan mampu untuk meleburkan rekod tanpa kalah JDT.

Pasukan bimbingan Datuk K Rajagopal sebelum ini sudah mencipta kejutan dengan menewaskan JDT di saingan Piala FA pada 17 April lalu dan ia adalah tanda bahawa kemampuan PKNS tidak boleh dinafikan.

PKNS FC sebelum ini bukan sahaja menjadikan JDT sebagai mangsa kejutan, tetapi mereka juga pernah menewaskan Selangor dengan rekod jaringan besar 4-0.

Justeru, bagi Farizal, beliau menuntut agar rakannya untuk kekal konsisten dan tidak mengambil mudah asakan lawan.

“Kami tidak boleh cuai dan perlu bersedia dengan taktikal yang akan dipratikkan pemain PKNS FC, kita tahu mereka gemar melakukan serangan balas yang pantas.

“Oleh itu kami harus berdisplin dan tidak terperangkap dengan helah pasukan PKNS FC bagi memastikan kita membawa pulang tiga mata walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya.