Malaysia Berita

Persatuan bola sepak perlu manfaatkan WFS Asia – Hamidin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meminta semua persatuan bola sepak menggunakan peluang majlis Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) yang berlangsung di Kuala Lumpur selama dua hari bagi menjalinkan kerjasama dengan semua ahli delagasi yang terlibat.

Dalam masa yang sama, beliau juga melihat ianya adalah peluang bagi persatuan negeri mengembangkan ilmu pengetahuan mereka.

“Saya menggesa pemimpin bola sepak Malaysia untuk bertukar pendapat dengan mereka yang hadir di sini dan secara tidak langsung mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin dalam mengikuti trend dan isu terkini.

“Dengan mengadakan sidang kemuncak di Kuala Lumpur dan Asia akan mendapat manfaat memandangkan ramai tokoh dan pakar bola sepak terbaik berkumpul untuk bertukar pendapat antara satu sama lain buat julung kalinya di sini,” katanya dalam ucapan pembukaan WFS Asia, hari ini.

Hamidin juga berkongsi maklum balas positif yang beliau dengar daripada pelbagai pihak mengenai WFS.

“Malah secara peribadi, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid sebanyak dua kali sebelum ini, saya merasakan dialog dan perbincangannya mampu membuka kesedaran serta bernilai.

“Sama ada topik perbincangannya merangkumi pengurusan kewangan mahupun mekanisme cukai agar seiring dengan arus perdagangan komersial bola sepak sekarang, bagi saya sidang kemuncak ini adalah tempat terbaik untuk semua pemimpin bola sepak.

“Sebagai Presiden FAM, saya berharap dapat mengetengahkan langkah untuk membuka  pelaburan baru dalam perkembangan bola sepak menerusi penajaan baru,” katanya.

WFS akan berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang dihadiri lebih daripada 2,000 pengamal bola sepak dan 60 penceramah.