Malaysia Berita

FAM, PSM mahu jadikan Bukit Jalil sebagai ‘Wembley Malaysia’

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bakal menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mewujudkan pengalaman baharu kepada orang ramai yang berkunjung ke Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, tidak lama lagi.

Memetik kata-kata Ahli lembaga pengarah PSM kepada Arena Metro, Radzi Tajuddin berkata, PSM dan FAM akan mengumumkan kerjasama tersebut dalam masa terdekat.

“Kembali kepada idea menjadikan tempat itu sebagai “Wembley Malaysia”, kami sebenarnya sudah berbincang dengan FAM dan kami akan umumkan mengenai kerjasama itu secepat mungkin. Idea itu sudah ada tapi pada masa ini saya tidak boleh dedahkannya.

“Tapi sesuatu yang besar akan diumumkan, mungkin dalam masa sebulan. Kami sedang memuktamadkan beberapa butiran dalam usaha menjadikan tempat itu Wembley Malaysia,” katanya

Dalam pada itu, Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes sangat optimis bagi menjadikan Bandar Sukan Kuala Lumpur sebagai tempat bagi menjana pendapatan kepada negara.

“Di Stadium Wembley disediakan makanan yang sedap, kedai cenderamata dan diadakan aktiviti hiburan pada hari tiada perlawanan. Orang ramai masih boleh datang ke stadium walaupun tiada perlawanan pada hari itu.

“Jika anda pergi ke Old Trafford atau Wembley terdapat muzium, kedai menjual barangan dan restoran. Berbeza dengan Bandar Sukan Kuala Lumpur pada masa ini, bila anda datang, tiada apa-apa,” katanya.