Malaysia Berita

Tidak mahu masalah tunggakan gaji, KAFA tamat kontrak Steinebrunnera

Pengarah Teknikal, Peter Jorg Steinebrunner ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)

Dalam perkembangan yang sama pemain import Brazil, Flavio Beck Junior ditawarkan penamatan kontrak awal.

Perkara ini dijelaskan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selepas mencapai persetejuan daripada kedua-dua pihak.

“Steinebrunner bersetuju menamatkan kontrak selepas memilih haluan berbeza selepas mencapai kata sepakat menerusi perbincangan kedua belah pihak.

“Keputusan menamatkan kontrak jurulatih kelahiran Jerman itu dibuat untuk mengelakkan KAFA menanggung sebarang risiko yang  terpaksa mengurangkan perbelanjaan pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana musim ini.

“Saya juga memanggil Jorg (Steinebrunner) dan Flavio (Beck Junior) dan saya menjelaskan KAFA tidak mahu berlaku masalah tunggakan gaji (sekiranya terus mengekalkan mereka) pada masa depan.

“Kita berusaha mengelakkan masalah tunggakan gaji berlaku dengan memaklumkan beliau KRW (Kelantan Red Warriors Sdn Bhd) tidak membayar gajinya.

“Malah saya mengambil tanggungjawab membayar gajinya dan beliau memahami permasalahan yang dihadapi KAFA dengan bersetuju KAFA mengurangkan tunggakan gajinya,” katanya kepada Berita Harian.

KAFA masih menunggu kata putus daripada Beck Junior sama ada pemain itu bersetuju atau tidak dengan tawaran penamatan kontrak.

“Kalau ikutkan terma dan syarat kontrak beliau (Beck Junior) boleh menamatkan kontrak lebih awal jika berlaku masalah tunggakan gaji melebihi tempoh dua bulan namun KAFA tidak mahu beliau keluar dengan cara yang tidak elok tanpa sebarang perbincangan,” katanya kepada Berita Harian.