Malaysia Berita

Shopee Rakan E-dagang Rasmi Piala Juara-Juara Antarabangsa 2019

Shopee, platform e-dagang terulung di Asia Tenggara dan Taiwan, menyertai Piala Juara-juara Antarabangsa 2019 (2019 International Champions Cup), kejohanan bola sepak tahunan yang membabitkan perlawanan antara kelab-kelab Eropah utama, sebagai rakan e-dagang rasmi pertama. Piala Juara-juara Antarabangsa 2019 akan memasuki tahun ketujuhnya dan akan diadakan di Singapura dari 20 hingga 21 Julai. Pada tahun ini, Kejohanan tersebut mengetengahkan barisan gergasi bola sepak terkemuka, termasuk Manchester United, Inter, Tottenham Hotspur dan Juventus.

Sempena pakatan antara Shopee dan Piala Juara-juara Antarabangsa, pengguna Shopee di Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina akan dapat membeli tiket perlawanan rasmi di Shopee mulai 4 April untuk menyaksikan Kejohanan di Singapura.

Agatha Soh, Ketua Pemasaran Serantau, Shopee, berkata, “Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami teruja untuk menjadi rakan e-dagang rasmi apabila kejohanan dianjurkan buat pertama kali di Asia Tenggara untuk tempoh empat tahun. Memandangkan bola sepak sangat popular di rantau ini, kami melihat acara ini sebagai peluang hebat untuk menambah nilai bagi pelanggan dengan memanfaatkan minat mereka dan mendekatkan mereka dengan idola bola sepak mereka. Menerusi kerjasama tersebut, peminat bola sepak di rantau in boleh membeli tiket dengan mudah di Shopee untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi secara langsung di Singapura dan merebut peluang keemasan ini untuk bertemu sendiri idola masing- masing.”

David Safer, Ketua Pegawai Komersial Relevent Sports Group, berkata, “Kami amat mengalu-alukan penglibatan Shopee, sebuah syarikat e-dagang yang terulung di rantau ini, sebagai rakan e-dagang rasmi bagi Piala Juara-juara Antarabangsa. Sejajar dengan matlamat kami untuk menghimpunkan dan meraikan peminat bola sepak, capaian dan pengaruh luas Shopee di rantau ini, menjadikan mereka rakan e-dagang paling sesuai untuk memaksimumkan capaian dalam talian kepada para peminat kami di seluruh Asia Tenggara. Kami gembira untuk berganding bahu dengan Shopee, dan kami yakin bahawa pakatan kami akan mencapai kejayaan besar untuk mendekatkan lagi peminat bola sepak di seluruh Asia dengan pasukan- pasukan bola sepak paling hebat di dunia.”

Sejajar dengan pengumuman sebagai rakan e-dagang rasmi bagi Piala Juara-juara Antarabangsa 2019 di Singapura, pengguna Shopee juga berpeluang untuk memenangi percutian percuma untuk menyaksikan perlawanan secara langsung di Singapura. Maklumat lanjut mengenai hadiah-hadiah Piala Juara-Juara Antarabangsa Shopee akan diumumkan pada tarikh kemudian di laman media sosial Shopee.