Liga Super Malaysia Berita

Kedah ikrar pertahan rekod tanpa bolos

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap skuad Helang Merah dapat mempertahankan rekod tanpa bolos bermain di laman sendiri menjelang aksi getir bertemu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar Jumaat ini.

Bagaimanapun, Baddrol menyedari ia bukan satu tugas yang mudah buat Kedah ketika berdepan juara Piala AFC 2015 itu yang memiliki rekod jaringan ampuh selepas menyaksikan JDT meledak 16 gol sepanjang 6 perlawanan musim ini.

Jelas pemain tengah berusia 31 tahun itu, dia berharap tuah bermain di laman sendiri akan memihak kepada skuad Helang Merah dalam misi mengejar pasukan Harimau Selatan yang kini mengumpul 16 mata.

Sebagai rekod, Kedah mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Felda United dan seri tanpa jaringan bertemu PKNS FC sepanjang bermain di Stadium Darul Aman.

“Sudah pasti aksi bertemu JDT sentiasa memberikan saingan dan saya berharap kami masih berupaya mempertahankan rekod tanpa bolos di (Stadium) Darul Aman nanti.

“Ia sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada kami tetapi kami sedar bahawa ia bukan satu tugas yang mudah apabila JDT memiliki rekod jaringan yang lebih baik tetapi kami telah bersedia untuk memberikan cabaran dalam misi merakamkan keputusan positif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Baddrol juga mahu pertemuan skuad Harimau Selatan dapat dijadikan titik permulaan kebangkitan Kedah selepas mereka tewas 0-1 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan 8 Mac lalu.

“Kedah mahu kekal lebih konsisten dan saya akui kecewa apabila kami tewas kepada Pahang pada perlawanan terdahulu dan sudah pasti Kedah mahu mendapatkan tiga mata bertemu JDT.

“Namun harus diingatkan bahawa JDT adalah antara salah satu pasukan terbaik di negara dan seperti saya katakan tadi, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi dalam masa yang sama kami tetap berusaha untuk mencapai satu keputusan positif itu nanti.

“Lebih tepat, kami berharap dapat mengelakkan kekalahan ketika bermain di laman sendiri,” ujarnya.

Kedah yang meraih 11 mata dan menduduki tangga ketiga Liga Super, kini ketinggalan tiga mata di belakang Pahang (14 mata) dan lima mata di belakang JDT.