Malaysia Berita

Bayar segala hutang atau berdepan tindakan saman! – PFA kepada Ahmad Amizal

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Mohamad Abdul Karim Khan Mansur Ahmad Khan memberi tempoh 14 hari kepada bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyelesaikan segala hutang tertunggak atau bakal berdepan tindakan saman.

Tempoh yang diberikan sehingga 9 April ini perlu digunakan oleh mantan Presiden PFA untuk membayar hutang PFA berjumlah RM3 juta termasuk dengan ganti rugi atas kemungkiran Ahmad Amizal dalam perjanjian penajaan kepada PFA.

Bercakap kepada Berita Harian, Abdul Karim menjelaskan tuntutan yang dibuat adalah berdasarkan segala kerosakan yang Ahmad Amizal telah lakukan selama menyandang kerusi Presiden PFA.

“Tindakan (tuntutan) ini dibuat berdasarkan segala kerosakan dan memberi imej buruk kepada PFA yang dilakukan sebelum ini sehinggakan PFA disingkirkan oleh MFL dari beraksi dalam Liga Perdana 2019.

“Sekiranya dia gagal menjelaskan hutang berkenaan, saman akan dikeluarkan terhadap beliau oleh pihak kami,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan pihak PFA bakal mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada April ini bagi memilih tampuk kepimpinan yang baharu.

“Ini bagi memilih Presiden baharu yang mampu menerajui dan menyelesaikan segala tanggungan hutang PFA yang menjangkau lebih RM 4 juta.

“Ia juga seperti yang tertakluk pada syarat yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membolehkan pasukan beraksi semula dalam dalam kancah liga,” katanya kepada Berita Harian.