Eropah Berita

Lewandowski Kritik Nico Kovac

Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski mengkritik dengan taktik yang digunakan pada pertemuan dengan Liverpool, di mana Lewandowski menyifatkan pendekatan yang digunakan sangat negatif sehingga pasukan daripada Jerman itu terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pada saingan pertama pusingan 16 di Anfield, Bayern gagal menjaringkan gol awal bagi membawa pulang bekalan selesa dan penyerang Poland menganggap taktik yang digunakan Nico Kovac tidak membawa kesan yang positif apabila mereka hanya banyak bertahan daripada menyerang.

(Photo by Chris Brunskill/Fantasista/Getty Images)

“Sudah tentu kami tahu perlawanan ini sangat sukar tetapi dalam kedua-dua perlawanan kami terlalu bertahan. Kami tidak cuba berusaha mencipta peluang samada di Anfield mahupun hari ini.

“Kami beraksi di tempat sendiri dan sepatutnya milik kami. Itu sebabnya saya fikir Liverpool menewaskan kami. Kami bermain terlalu jauh ke dalam dan kami tidak mengambil risiko. Saya tak tahu mengapa.”

Penyerang Poland itu turut berpendapat sukar melepasi benteng Liverpool diketuai Virgil van Dijk kerana kurang mendapat sokongan daripada rakan sepasukan.

“Sangat sukar melepasi mereka kerana saya keseorangan, jadi mahu melepasi halangan dua atau tiga pertahanan yang bagus memang sukar,” katanya.

Untuk rekod, ini adalah pertama kali dalam 11 tahun tiada wakil Jerman pada saingan suku akhir Liga Juara-Juara.