Malaysia Berita

FAM Bakal Tambah Lima Peraturan Baharu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengemukakan lima peraturan baru dalam tempoh tiga hingga lima bulan lagi bagi memastikan perjalanan Liga Super yang lebih lancar dan sistematik.

Sebilangan perubahan besar undang-undang ini bertujuan untuk mengurangkan penipuan dan aktiviti membuang masa di atas padang.

Antara perubahan tersebut adalah pemain yang diganti dibenarkan keluar daripada mana-mana bahagian padang, gol yang terkena tangan pemain tidak akan dikira, pemain penyerang tidak dibenarkan mengganggu dinding pertahanan dan jurulatih akan menerima kad.

Bercakap kepada Arena Metro, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, peraturan baru ini selaras dengan perubahan yang telah ditetapkan oleh badan induk Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Justeru, pihak FAM telah sedia maklum tentang perkara ini yang wajib dipatuhi tetapi masih menunggu surat pekeliling daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)

“Peraturan baharu itu wajib dipraktikkan kepada badan induk bola sepak negara yang bernaung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kita hanya menunggu surat pekeliling daripada AFC bagi melaksanakannya.

“Namun, perkara itu perlu dilakukan secara berperingkat dengan memastikan pengadil perlu mengetahui secara terperinci peraturan terbabit bagi mengelak masalah lain timbul nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.