Malaysia Berita

MFL Keluarkan Jadual Liga

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan jadual lengkap bagi perlawanan ketujuh hingga kesembilan unifi Liga Super dan Liga Premier 2019 serta saingan pusingan kedua Shopee Piala FA 2019.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MFL Mohd Shazli Shaik Mohd, pihaknya sedia maklum bahawa ramai peminat tertanya-tanya tarikh perlawanan unifi Liga Super dan Liga Premier bagi perlawanan ketujuh selepas berakhirnya perlawanan keenam Ahad lalu.

Beliau menegaskan beberapa faktor perlu diambil kira sebelum jadual perlawanan liga dikeluarkan bagi mengelakkan banyak pindaan berlaku.

“Jadual sudah dikeluarkan hari ini, kita hanya keluarkan jadual perlawanan ketujuh hingga kesembilan unifi Liga Super dan Liga Premier. Kita kena menunggu keputusan undian Shopee Piala FA seterusnya untuk mengeluarkan jadual liga dan Shopee Piala FA seterusnya.

“Kenapa kita keluarkan lambat? Kita sedia maklum minggu ini tiada perlawanan kerana kalendar FIFA, kebanyakan pasukan tidak akan bermain kecuali pasukan kebangsaan dan untuk membuat jadual ini kita harus mengambil kira banyak faktor.

“Yang pertama kita kena memastikan jadual pasukan yang berkongsi venue tidak bertembung, kita juga kena mengambil kira pasukan yang bermain di negeri yang sama, sebagai contoh Johor Darul Ta’zim dengan JDTII, Terengganu FC dengan TFC II, Selangor dengan PKNS FC dan juga Selangor United.

“Selain itu selepas jadual sudah disiapkan oleh unit pertandingan, kita akan membentangkan jadual ini kepada unit penyiaran untuk pemilihan perlawanan-perlawanan yang akan ditentukan dan dalam pemilihan di peringkat penyiaran itu juga boleh menjadikan beberapa perlawanan itu dipinda pada saat-saat akhir, jadi kita harus terima maklum produksi sekarang kita ada TV9 Media Prima dan iflix, kita perlu memastikan pergerakan produksi penyiaran ini relevan dengan jadual perlawanan yang kita keluarkan.

“Jadual liga kita perlu mengambil kira undian Piala FA kerana kita tak tahu siapa lawan siapa, boleh jadi pertembungan undian itu melibatkan perkongsian venue, sama negeri sebagai contoh, kita tak boleh mainkan pasukan Pahang dan Felda United serentak walaupun di daerah berbeza, Jengka dan Kuantan.

“Penyokong harus faham perlawanan Pahang dan Felda United tidak boleh diadakan serentak pada hari sama atau seelok-eloknya perlu ada jarak sehari kerana jika serentak ia akan menyukarkan kita untuk menempatkan anggota keselamatan,” katanya.

Jelas Shazli, ada penyokong yang membandingkan jadual Liga Malaysia dengan luar negara yang dikatakan lengkap sepanjang musim namun realitinya situasi yang dihadapi tidak sama di negara ini disebabkan beberapa kekangan.

“Faktor utama yang kita sedia maklum adalah perkongsian venue, di EPL (Liga Perdana Inggeris) venue tak dikongsi bersama, yang kedua beberapa pasukan dalam satu negeri dan juga undian Shopee Piala FA.

“Perkara sama diterapkan di La Liga, di mana MFL sudah mengeluarkan jadual perlawanan liga sepanjang tahun cuma tarikh tak ditetapkan, walaupun tarikh tak tahu tapi sekurang-kurangnya penyokong tahu pasukan mereka akan bertemu pasukan mana, sebelum ini tak tahu langsung,” katanya.