Kolum

Temubual Eksklusif Bersama Roshan Narayan, Pengacara Astro Supersport

Roshan Narayan, satu figura yang sering berada di kaca TV ketika anda menunggu untuk menyaksikan satu perlawanan besar Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara Eropah. Sering memberi komentar pedas dan bertanyakan soalan panas kepada tetamu jemputan beliau.

Minggu lalu, kami berpeluang berjumpa dengan beliau. Kami tanyakan pelbagai soalan untuk lebih mengenali beliau. Daripada kisah permulaan kerjaya beliau sehingga menjadi antara pengacara terkemuka di Malaysia.

Ancelotti: 'Mbappé can reach Cristiano Ronaldo's level at Real Madrid'
Keep WatchingNext video in 8 seconds
 

Anda dilahirkan di Malaysia dan dibesarkan di India pada waktu remaja dan banyak menghabiskan masa anda disana dengan belajar. Kenapa anda memilih untuk pulang ke Malaysia selepas itu?

Ramai orang menyangka saya dilahirkan di India, tetapi sebenarnya saya dan keluarga saya dilahirkan di Malaysia. Ibu dan Ayah saya berpindah ke India disebabkan perniagaan mereka dan saya mengikut mereka. Saya selalu pulang ke Malaysia 6 bulan sekali atau setahun sekali untuk bercuti. Selepas saya selesaikan ijazah saya, saya beritahu ibu bapa saya yang saya mahu pulang ke Malaysia dan mereka okay dengan keputusan saya untuk berpindah ke Malaysia. Semasa saya balik ke Malaysia umur saya 21 tahun, pada masa itu saya habiskan ijazah saya dalam IT dan saya sempat bekerja dalam masa yang singkat tetapi IT bukanlah bidang yang saya minati, ia membosankan. Ya, gaji yang baik, tetapi kerja itu sangat membosankan untuk saya. Ibu bapa saya nampak yang saya mempunyai minat dalam menyampaikan cerita, buat lawak dan menyokong keputusan saya. Selepas saya pulang ke Malaysia, saya mula masuk ke dunia produksi. Pada waktu itu syarikat pertama yang saya masuk adalah Planet Film. Saya bermula daripada bawah sebagai pembantu. Kerja saya membawa wayar, cuci meja dan buatkan minuman untuk orang. Tetapi saya gembira untuk buat semua itu walaupun gaji tidak seberapa waktu itu.  Ia adalah kerja yang menyeronokkan tetapi saya tidak mendapat banyak pulangan pada waktu itu. Beberapa tahun selepas itu, saya bertukar ke bidang Public Relation. Pada masa saya membuat kerja PR saya mendapat apa yang saya mahukan – menulis, memahami dunia pengiklanan, memahami dunia media. PR memberi saya tapak untuk bergerak dan mengajar saya bagaimana untuk menulis, bergaul, berurusan dengan media dan pelanggan. Selepas itu saya menyertai satu pertandingan yang dianjurkan oleh Fly FM yang dipanggil Flydo, saya berjaya untuk sampai ke peringkat 10 teratas. Tetapi saya gagal untuk mara ke peringkat lima terbaik. Semasa pemenang diumumkan, salah seorang kakitangan Fly FM datang kepada saya dan berkata “kami tahu kamu tak lepas ke lima terakhir, tetapi kami percaya kamu boleh menjadi penyampai berita untuk Fly FM.” Tanpa berfikir panjang, saya terus berhenti kerja sebagai PR dan menyertai Fly FM. Selepas itu saya ke Mix FM untuk tiga tahun sebagai penyampai. Pada tahun 2009, saya mendapat peluang bekerja untuk Astro Supersport dan 10 tahun kemudian saya ditemuramah oleh anda anda (ketawa).

Siapa superhero kegemaran anda?

Superhero kegemaran saya? Selama membesar, saya suka membaca komik superhero kerana ia membuka minda saya. Superhero kegemaran saya adalah Wolverine dan saya juga mempunyai tatoo Wolverine di kaki. Tetapi selama membesar, superhero kesukaan ramai adalah batman atau superman tetapi selepas saya meningkat remaja, saya banyak membaca buku komik Wolverine. Saya suka dengan karakter Wolverine kerana walau macam mana susah keputusan tersebut, dia selalu melakukan pilihan yang tepat. Kadang-kadang di dunia ini ada sahaja orang yang akan benci dengan apa yang anda lakukan, tetapi kalau anda rasa itu keputusan yang tepat untuk dibuat, lakukan dengan seikhlas hati.

Sebelum memasuki TV, anda bekerja di Radio, diantara tv dan radio, apakah perbezaannya?

Terlalu banyak perbezaan di antara radio dan tv. Di radio saya banyak membuat kerja berkaitan berita dan lalu lintas, ia permulaan yang baik untuk saya pada waktu itu kerana apabila saya buka sahaja mulut saya, saya tidak boleh berhenti bercakap (ketawa). Apa yang membezakan radio dan tv adalah pertama, radio tiada siapa yang boleh melihat anda, jika anda buat salah, anda boleh perbetulkan. Tetapi di tv, jika anda lakukan kesalahan, satu dunia melihat anda dan anda tidak boleh bersembunyi daripada kesalahan itu.

Apakah muzik yang anda selalu dengar ketika dalam perjalanan ke tempat kerja?

Sebagai seorang yang dibesarkan pada tahun 90-an, saya selalu mendengar heavy metal atau rock. Kumpulan yang saya suka adalah Children Of Bodom dan Metallica. Tetapi saya mendengar semua jenis muzik.

Semua orang tahu untuk menjadi seorang pengacara TV bukanlah sesuatu yang senang, tetapi apa yang anda lakukan seperti terlalu mudah, apa rahsia disebalik kejayaan anda?

Pertama, jadi diri anda sendiri dan selalulah bertanya. Sehingga sekarang, saya masih lagi bertanya kepada orang yang lebih senior daripada saya. Kedua, sentiasa belajar perkara yang baru. Jika saya mempunyai masa terluang saya akan menonton perlawanan musim lalu atau saya akan membaca berita-berita terkini. Semua orang ingat mengacara adalah satu kerja yang senang, tetapi tidak sebaliknya.

Dan semua orang fikir anda mempunyai kerja yang menyeronokkan, tetapi apa realiti disebaliknya?

Sesiapa sahaja yang menyertai industri ini, saya selalu nasihatkan mereka untuk sentiasa bersedia kerana banyak persaingan dalam industri hari ini. Kadang-kala anda tidak melakukan kesalahan, tetapi ada sahaja orang yang sentiasa mencari salah anda. Mereka kritik anda di sosial media. Selain daripada itu, rajinlah belajar seberapa banyak yang boleh dan bertahanlah dalam industri yang kejam ini. Anda kena belajar jadi lebih positif.  

Tiga makanan yang anda suka?

Nasi Lemak Ayam, Char Kuey Teow, Nasi Biryani Kambing

Anda semestinya telah berjumpa dengan ramai pemain bola sepak, siapa bagi anda yang paling sukar untuk ditemuramah?

Saya tidak rasa mereka sukar untuk ditemuramah, tetapi apabila pemain bola datang ke sini selalunya PR mereka akan memberitahu anda soalan-soalan yang boleh dan tidak boleh ditanya. Tetapi jika di tv, mereka perlu menjawab setiap soalan yang ditanya. Ada beberapa pemain bola yang mengelak untuk menjawab soalan kerana mereka masih bekerja untuk kelab tersebut. Jadi apa yang saya lakukan adalah bertanya soalan yang jawapannya adalah ya atau tidak. Tiada pundit yang sukar untuk bekerjasama melainkan jika dia masih baru tetapi ianya adalah tugas saya untuk menampakkan mereka bagus.

Pemain bolasepak kegemaran anda?

Ayah saya pernah tunjukkan satu video Diago Maradona dan pada saat saya menonton video tersebut saya terus meminati beliau. Saya pernah bertemu Maradona pada Piala Dunia 2014 dan ia adalah pengalaman yang menankjubkan. Saya terpaku melihat beliau di depan mata. Dan di dalam hati saya, “saya kena ambil gambar dengan beliau kerana peluang ini hanya datang sekali.” Saya berjalan ke arah Maradona dan meminta kebenaran untuk mengambil gambar. Pada mulanya dia tidak suka gambar pertama dan minta untuk mengambil sekali lagi(ketawa). Pemain kedua yang saya suka adalah Marco Reus kerana saya peminat Borussia Dortmund.

Anda ada rutin sebelum mengacara satu perlawanan yang besar?

Apa yang saya akan lakukan adalah datang awal tempat kerja. Kalau mereka panggil saya jam 8 malam, saya akan sampai 3 atau 2 jam lebih awal. Kenapa saya lakukan begitu adalah untuk tenangkan diri saya. Saya akan duduk bercakap dengan krew, atau melihat kawan-kawan saya mengacara rancangan mereka. Tetapi jika ada pundit yang datang awal, saya akan duduk bersembang dengan mereka. Tetapi apa yang paling penting adalah persedian sebelum mengacara. Selalunya sehari sebelum mengacara saya akan sediakan semua perkara – kajian dan analisa pra perlawanan.

Apa yang anda lakukan di waktu lapang?

Selalunya saya habiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Untuk menghabiskan masa dengan mereka adalah sangat penting bagi saya. Tetapi jika saya pulang lewat ke rumah, isteri dan anak saya sudah tidur. Saya akan menonton dokumentari di televisyen sebelum tidur.

Tempat menarik di Malaysia?

Banyak tempat menarik di Malaysia. Apabila orang bertanya pulau mana yang paling seronok untuk bercuti. Mereka selalu sebut Bali, Phuket atau pulau-pulau luar negara. Tetapi sebenarnya pantai di Malaysia juga cantik. Pundit yang datang ke sini,  selalu memuji Malaysia . Negara kita penuh dengan adat dan budaya serta makanan di Malaysia adalah terbaik di dunia.

Pernahkah anda terfikir untuk menukar kerjaya anda?

Di dalam industri ini, anda tidak boleh terlalu selesa. Anda perlu selalu melibatkan diri dengan benda-benda baru. Selepas beberapa tahun, saya mula lakukan kerja di belakang tabir, menjadi producer untuk salah satu rancangan memasak dan rancangan mengembara. Anda perlu melibatkan diri dengan semua benda jika anda mahu berjaya dalam industri ini.

Pasukan tempatan mana yang anda sokong?

Saya peminat Pasukan Selangor.

Apa yang anda mahu jadi ketika kecil?

Saya mahu menyertai tentera udara tetapi dilarang oleh Ibu saya. Bila anda semakin tua, semua perkara berubah dan bila anda melihat kembali ke belakang, anda tidak pernah menyesal dengan apa yang saya pilih.

Bagaimana anda melihat perkembangan bola sepak tempatan?

Saya suka peningkatan yang ditunjukkan dikalangan komuniti bolasepak tempatan. Bukan sahaja untuk pasukan kebangsaan, tetapi sama juga dengan pasukan negeri. Semuanya mula berubah setelah Malaysia berjaya memenangi Piala AFF Suzuki 2010. Pada waktu itu, minat terhadap pasukan bola sepak kebangsaan mula berkembang balik dan orang mula memenuhi stadium. Perkara yang penting adalah semua orang mula meminati bolasepak tempatan seperti zaman 70, 80 and 90-an.