Real Madrid yang disingkirkan oleh Ajax daripada kejohanan Liga Juara-Juara Eropah nyata tidak dapat diterima oleh pertahanan kanan kelab itu, Dani Carvajal.
Dalam masa seminggu, Real Madrid tewas dalam dua kejohanan besar, di mana mereka kalah dalam perebutan tempat di pentas akhir Copa del Rey dengan Barcelona dan terbaru dikeluarkan daripada saingan Eropah oleh Ajax.
Selaku Juara Eropah tiga kali, Real Madrid bakal menamatkan musim ini dengan tangan kosong selepas pemburuan La Liga dijarakkan dengan 12 mata oleh Barcelona.
“Saya rasa saya tidak pernah menanggung rasa malu seteruk ini, saya tidak tahu macam mana nak jelaskan,” kata Carvajal sejuru kemaraan Ajax menerusi aggregat 5-3.
“Minggu ini semua tuah membelakangi kami. Malam ini kami tidak boleh bagi alasan lagi. Pencabar kami memang bagus dan mereka berhak mara. Kami perlu berdepan realiti dan tidak perlu menyorokkan muka, musim ini kami memang berdepan malang.”
Carvajal turut meluahkan bahawa mereka menghadapi perlawanan ini dengan sukar apabila tewas dua kali dengan Barcelona dalam masa seminggu.
“Bukan mudah untuk kami yang baru tewas dua kali di tangan Barcelona berdepan perlawanan ini, kami ke sini memang untuk menang, tetapi dua kesilapan menyebabkan kami bolos awal.”
“Permulaan babak kedua memang bagus, tetapi gol ketiga mereka membunuh kami,” kata Carvajal.