Liga Super Malaysia Berita

JDT tandatangan dua pemain Filipina, Bienvenido Maranon, Carli de Murga

Kelab Johor Darul Ta’zim membuat kejutan apabila menandatangani dua pemain kebangsaan Filipina iaitu Bienvenido Maranon dan Carli de Murga bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2022.

Maranon merupakan penyerang berusia 35 tahun yang berasal dari Sepanyol tetapi baru sahaja menjadi pemain naturalisasi Filipina pada tahun lalu selepas lebih lima tahun beraksi di negara itu sejak 2015 apabila menyertai Ceres Negros yang kini dikenali sebagai United City FC.

Malah, beliau sempat beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 hujung tahun lalu.

De Murga pula merupakan pemain pertahanan berusia 33 tahun yang juga berasal dari Sepanyol tetapi telah pun beraksi bersama Filipina sejak 2011 selepas layak mewakili negaranya menerusi ibunya yang berasal dari Quezon City.

Beliau mula beraksi di Filipina pada 2012 dengan menyertai kelab Global, sebelum menyertai Ceres-Negros pada 2014 hinggalah beliau berhijrah ke Chonburi pada 2020.

Tahun lalu, beliau menyertai Terengganu yang menamatkan saingan di tempat ke-4 dalam Liga Super musim lalu.

Maranon dan De Murga mengisi kekosongan di JDT setelah Gonzalo Cabrera, Abimanyu Syahrian dan Kei Hirose meninggalkan pasukan itu.