Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Carli de Murga wira Terengganu, import baharu Pahang menyinar

Selangor dikejutkan dengan kekalahan 2-1 apabila Terengganu menjaringkan dua gol dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.

Pasukan tuan rumah mendahului menerusi Ifedayo Olusegun hasil sepakan penalti pada minit ke-49, selepas sepakan penaltinya di separuh masa pertama berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Bagaimanapun, Terengganu menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain berusia 22 tahun, Engku Muhammad Nur Shakir pada minit ke-72.

Dengan tinggal tiga minit sahaja lagi, sepakan percuma Arif Fadzilah disambut baik oleh Carli de Murga yang menanduk masuk bola ke gawang gol.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan, dengan Terengganu mengumpul 27 mata, hanya beza tiga mata dengan JDT.

Selangor kekal di tangga ke-5 dengan 19 mata.

Di Ipoh, Perak mencatatkan kekalahan ke-7 apabila tewas 3-2 kepada Pahang.

Pahang mendahului menerusi import penyerang baharu dari Myanmar, Aung Kaung Mann pada minit ke-34.

Pahang menggandakan kedudukan menerusi seorang lagi import penyerang baharu, iaitu Kenny Athiu pada minit ke-58.

Perak merapatkan jurang gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro pada minit ke-68 setelah Shakir Hamzah dijatuhkan dalam kotak penalti.

Namun, Pahang berjaya melebarkan jurang gol apabila Kenny menjaringkan gol kedua peribadinya dengan tandukan hasil hantaran Azam Azih pada minit ke-88.

Perak meraih gol kedua hasil jaringan Raianderson pada minit ke-94, tetapi ia sudah terlambat dengan keputusan 3-2 menjadi keputusan muktamad.

Pahang melonjak ke tangga ke-9 dengan 12 mata, berkongsi mata dengan Perak namun dipisahkan perbezaan jaringan.

Dalam satu lagi perlawanan, Melaka United sekadar terikat seri tanpa jaringan menentang PJ City.

Keputusan itu menyaksikan PJ City di tangga ke-8 dengan 15 mata manakala Melaka kini di tangga tercorot liga iaitu di tangga ke-11 dengan mengumpul 11 mata.