Liga Super Malaysia Berita

CEO Perak letak jawatan

Rizal Ali Naizali membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai CEO Perak.

Utusan melaporkan, peletakan jawatan itu berkuatkuasa serta-merta.

“Saya melepaskan jawatan sebagai CEO Perak,” katanya.

“Saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku terhadap pasukan.

“Dengan peletakan jawatan ini, saya membuka laluan kepada orang lain untuk menerajui Perak.”

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Perak tewas 3-2 kepada Pahang, yang berakhir dengan insiden penyokong membaling suar di atas padang bagi menunjukkan tanda tidak puas hati kepada pengurusan pasukan.

Rizal merupakan antara muka lama dalam pengurusan pasukan Perak, apabila telah berkhidmat sejak lebih 10 tahun lalu.

Beliau pernah dilantik sebagai penolong pengurus pasukan Piala Presiden Perak pada 2009 dibawah kendalian pengurus ketika itu, Zainol Fadzi Paharudin, dengan Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih manakala Chong Yee Fatt selaku penolong jurulatih.

Rizal dilantik sebagai CEO Perak, setelah pengurusan melalui proses penswastaan kelab.

Namun, di bawah pentadbirannya, Perak mengalami masalah tunggakan gaji dan penurunan prestasi yang menyaksikan pasukan itu di tangga ke-10 liga musim ini.

Masalah tunggakan gaji sampai ke kemuncaknya apabila barisan pemain memboikot sesi latihan sebelum perlawanan menentang Pahang dua hari lalu.

Sehari selepas itu, dua pemain utama, Shahrul Saad dan Guilherme de Paula meninggalkan pasukan dan menyertai JDT, kemungkinan disebabkan masalah gaji yang dihadapi Perak ketika ini.