Liga Super Malaysia Berita

Luqman Hakim berusaha pikat jurulatih baharu KV Kortrijk

Luqman Hakim Shamsudin sedang berusaha keras untuk meraih kepercayaan ketua jurulatih baharu KV Kortrijk, Luka Elsner.

Elsner menggantikan Yves Vanderhaeghe yang dipecat minggu lalu selepas pasukan kendaliannya gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.

Namun sejak dibawah kendalian Elsner, KV Kortrijk mencatatkan dua kemenangan berturut-turut apabila berjaya mara ke pusingan ke-16 Piala Belgium selepas menewaskan Lommel 3-1 dan menang 3-0 ke atas Royal Excel-Mouscron dalam saingan Liga Jupiler Pro.

Bagaimanapun, Luqman masih belum terlibat dalam mana-mana perlawanan dibawah kendalian Elsner setakat ini.

“Saya belum lagi berlatih dengan jurulatih baharu kerana beliau masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sini,” katanya kepada Harian Metro.

“Tapi saya dan pemain lain ada jumpa dan berbincang dengannya mengenai pasukan. Beliau minta saya berusaha lagi dalam latihan supaya dapat bersaing dengan pemain lain.

“Saya ambilnya secara positif dan sekarang saya kena usaha lagi untuk dapat kepercayaan jurulatih. Beliau ada cara tersendiri dan saya yakin beliau mampu bawa sesuatu kepada pasukan.”

Luqman mengakui terhutang budi dengan Vanderhaeghe yang memberikan beliau peluang beraksi dalam saingan liga namun beliau tetap yakin jurulatih baharu akan memberikan beliau peluang beraksi jika menampilkan prestasi yang baik.

“Memang jurulatih sebelum ini banyak bagi peluang kepada saya. Tapi saya percaya kalau saya tunjukkan permainan dan prestasi terbaik, sudah tentu jurulatih baharu pun akan beri peluang.

“Saya nak berada dalam senarai perlawanan kerana prestasi saya dan bukan sebab lain. Jadi saya akan tingkatkan lagi usaha dan harap dapat bermain lagi.”