Liga Super Malaysia Berita

Selepas Sumareh sertai JDT, TMJ sedia bantu Pahang

Pemilik Johor Darul Ta’zim FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia membantu meringankan beban yang dihadapi Pahang ketika ini.

Ini selepas FIFA mengarahkan mereka supaya membayar tunggakan gaji hasil pelanggaran kontrak Mohamadou Sumareh berjumlah AS$1.2 juta atau kira-kira RM4.9 juta.

Bagaimanapun selepas Sumareh menyertai JDT, TMJ akan berunding dengan pemain barunya bagi mengurangkan jumlah tuntutan yang perlu dibayar oleh Pahang kepada Sumareh.

“Saya akan nego (berunding) dengan dia (Sumareh) untuk selesaikan dengan Pahang cara baik dan kurangkan harga settlement (penyelesaian) Pahang hutang dia,” menurut TMJ di salah satu akaun Instagram peminat Pahang.

Sumareh dalam satu kenyataan di Johor Southern Tigers mengakui bahawa sebelum beliau menyertai JDT, beliau turut menerima beberapa tawaran dari pasukan lain dalam Liga Malaysia.

“Saya telah dihubungi oleh beberapa kelab di Malaysia, dan sudah pasti saya memilih kelab yang terbaik.”