Liga Super Malaysia Berita

Sultan Perak titah ambil kira reaksi peminat, tukar logo baharu

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed mengesahkan bahawa mereka akan mengadakan pertandingan mencipta logo yang baharu bagi menggantikan logo yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini.

Ini selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menitahkan supaya Perak mengadakan pertandingan, bagi mempertimbangkan penerimaan peminat terhadap logo terkini.

“Baginda bertitah demikian selepas dipersembahkan reaksi para penyokong yang kurang berminat terhadap logo baharu Perak FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya kepada Bernama.

“Baginda bertitah nasihat agar maklum balas daripada para penyokong didengari, dihormati dan diberikan perhatian.”

Menurutnya pertandingan bagi menukar logo Perak FC itu akan dilancarkan secara maya menerusi laman media sosial Perak TBG bermula semalam.

“Kita juga akan menyediakan hadiah sebagai penghargaan kepada peminat bola sepak Perak, jadi saya seru kepada semua peminat mengambil ruang yang terbuka luas untuk bantu menjayakannya.”

Pada 30 Jan lepas, Perak FC memperkenalkan logo baharunya yang menggunakan simbol haiwan seladang dengan berlatarbelakangkan warna hitam.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sebelum ini berkata keputusan untuk menggunakan logo itu kekal meskipun mendapat tentangan peminat.

Namun, atas nasihat Sultan Perak, barulah mereka membuat keputusan untuk menukar logo tersebut dengan logo baharu.