Liga Super Malaysia Berita

Sabah lantik Scott Ollerenshaw sebagai Pengarah Teknikal

Sabah membuat keputusan untuk melantik bekas pemainnya, Scott Ollerenshaw sebagai Pengarah Teknikal bermula musim 2021.

Ollerenshaw, 53, yang mempunyai banyak pengalaman dalam mengenal pasti bakat pemain akan bertindak sebagai ketua dalam program pembangunan belia untuk misi mencungkil bakat baru dan membentuk barisan pelapis Sabah FC untuk masa akan datang.

“Pelantikan Scott Ollerenshaw sebagai Pengarah Teknikal buat Sabah FC merupakan antara inisiatif yang dilaksana untuk menzahirkan kesungguhan pasukan dalam meningkatkan mutu dan kualiti bola sepak di Sabah,” menurut laman Facebook rasmi Sabah Football Association.

Ollerenshaw juga mempunyai pengalaman dalam membantu membawa masuk beberapa pemain import dari negara kelahirannya Australia untuk pasukan Liga Malaysia.

“Pelantikan legenda bola sepak Sabah yang berasal dari Australia ini adalah dengan tujuan menjadi medium pengantara buat para pemain ‘import’ dengan pasukan Sabah FC sendiri.

“Dalam masa sama, Scott juga turut bertindak sebagai pencari pemain yang berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan yang gah dengan gelaran Sang Badak ini.”