Luar Negara Berita

Bekas pemain Newcastle United meninggal dunia ketika menjalani latihan bersama pasukannya

Bekas pemain tengah Newcastle United, Cheick Tiote disahkan telah meninggal dunia pada usia 30 tahun ketika sedang menjalani latihan bersama kelab dari divisyen 2 Liga China hari ini. Pemain skuad kebangsaan Ivory Coast ini beraksi dengan kelab Newcastle selama 7 tahun dan mempunyai 138 penampilan dalam liga.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah ke liga divsiyen 2 China pada bulan Februari dan menyertai pasukan Beijing Enterprises.

“Dengan perasaan yang sungguh sedih, saya ingin mengesahkan bahawa Cheick Tiote telah meninggal dunia hari ini selepas rebah di padang latihan,” kata jurucakap Emanuele Palladino.

“Kami tidak boleh mengulas lanjut buat sementara waktu dan kami memohon agar pihak media menghormati perasaan ahli keluarganya yang masih bersedih,”

Cheick Tiote dilahirkan di Ivory Coast dan merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Ivory Coast  yang memenangi kejohanan Piala Afrika 2015. Beliau memulakan kerjaya professionalnya di Belgium dengan pasukan Anderlecht pada tahun 2005 sebelum berhijrah ke Belanda untuk menyertai pasukan FC Twente dan berjaya menjuarai Eredivisie League pada musim 2009/2010 dibawah kendalian pengurus Steve Mclaren.

Tiote kemudian menyertai pasukan Newcastle United pada tahun 2010 dengan yuran perpindahan 3.5 juta pound. Pemain tersebut sempat beraksi sebanyak 3 kali bersama Newcastle dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini sebelum berhijrah ke China.

 

 

Beberapa rakan-rakannya dan pemain yang pernah bermain bersamanya turut mengucapkan takziah serta sedih di atas pemergiannya.