Malaysia Berita

Pulau Pinang ‘Rehatkan’ Ahmad Yusoff

Pulau Pinang telah merehatkan ketua jurulatih mereka, Ahmad Yusoff berikutan aksi yang kurang konsisten Harimau Kumbang dalam aksi Liga Perdana.

Dalam lima perlawanan liga musim ini, Ahmad Yusoff hanya berjaya mencipta satu kemenangan dan satu keputusan seri buat Pulau Pinang dan mereka menduduki tangga kesembilan liga.

Ahmad Yusoff bakal menjadi jurulatih ketiga yang direhatkan setelah Mohd Fauzi Pilus (PDRM) dan Mohd Farhan Abdullah (Sarawak) mengalami nasib yang sama minggu lalu.

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah dalam satu kenyataannya kepada Berita Harian menyatakan bahawa satu mesyuarat khas telah diadakan bagi membincangkan prestasi pasukan dalam saingan Liga Perdana.

“Pengurusan FAP sebulat suara bersetuju membuat keputusan bahawa ketua jurulatih, Ahmad Yusoff direhatkan serta merta dan beliau sudah dimaklumkan berkenaan keputusan ini.

“Keputusan drastik ini diambil selepas menilai kesemua aspek prestasi semasa dan demi memperbaiki cabaran pasukan di dalam baki saingan Liga Perdana 2019,” katanya kepada Berita Harian.