Malaysia Berita

MIB Nafi Taja PFA

Kolej Malaysia Integrated Business (MIB) tampil mengesahkan bahawa pusat latihan yang digunakan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) adalah sepenuhnya milik mereka.

Sebelum ini timbul persoalan bahawa premis terbabit dikatakan milik bekas Presiden Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie kerana premis itu digunakan bagi menempatkan skuad Piala Belia dan Presiden Perlis.

Ketua Pegawai Operasi (MIB), G Raaj Kumar bercakap kepada Berita Harian bahawa pihaknya hanya menyediakan tempat untuk pemain Perlis menjalani latihan tetapi tidak pernah menaja pasukan terbabit.

“Itu milik kami!” Katanya.

“Kami ambil alih tempat itu pada Oktober lalu untuk meningkatkan lagi mutu pemain namun ia tidak ada kaitan dengan bekas presiden.

“Saya juga mahu jelaskan yang kami bukan penaja mereka tetapi kami hanya jalinkan kerjasama. Pihak kami tidak beri komitmen daripada segi kewangan,” katanya kepada Berita Hariann.

Beliau turut menjelaskan bahawa apa yang berlaku telah memberi pengajaran kepada mereka untuk lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pasukan.

“Ini kali pertama kami buat kerjasama dengan pasukan dengan harapan dapat membantu pembangunan pemain. Apa yang terjadi adalah sebaliknya yang dilihat boleh merosakkan reputasi kami terutamanya dalam kalangan ibu bapa,” katanya.