Malaysia Berita

Nazrin Idam Aksi Pertama Bersama MU

Nazrin Nawi, pemain sayap kiri pasukan Melaka United tekad untuk membantu pasukan beliau mencatat kemenangan selepas terlepas hampir empat perlawanan awal Liga Super disebabkan kecederaan.

Melaka United bakal bertemu Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Ahad ini bakal menjadi aksi pertama Nazrin Nawi selepas pulih daripada kecederaan lutut yang dialami beliau pada aksi pra musim di Vietnam.

Pemain 31 tahun kelahiran Kelantan ini menyatakan bahawa beliau sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu rakan sepasukannya dalam empat perlawanan awal musim ini.

“Memang saya rasa terkilan tidak dapat menyumbang kudrat namun apa daya kecederaan membataskan sentuhan saya setakat ini.

“Kini saya sudah pulih namun masih dalam proses membina kecergasan terbaik untuk diturunkan. Namun jika diberikan peluang saya akan buktikan kemampuan yang saya miliki,” katanya kepada Berita Harian.

Nazrin Nawi terlepas empat perlawanan awal, di mana Melaka United berjaya mencatat kemenangan ke atas pasukan PJ City FC dan PKNS FC, manakala seri dengan Pahang dan tewas ke atas Johor Darul Ta’zim.