Liga Super Malaysia Berita

Pahang Alukan Kedatangan Terengganu Ke Darul Makmur

Pahang yang bermula langkah kanan pada aksi pertama Liga Super menentang Kuala Lumpur bakal menerima kunjungan jiran sebelah, Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur.

Biarpun berjaya mencatat kemenangan selesa bertemu Kuala Lumpur, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang tidak mahu pemain merasa selesa dan hilang fokus.

Justeru, beliau berharap aksi yang lebih mantap bakal dihidangkan di hadapan penyokong sendiri Sabtu ini bagi mendapatkan tiga mata penuh.

“Saya akui aksi pertama penting dan pemain sudah buktikan dengan misi meraih tiga mata sebagai motivasi.

“Tapi, mereka tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan pertama itu kerana lebih banyak cabaran bakal menanti mereka selepas ini.

“Apa yang perlu dilakukan pemain adalah sentiasa meningkatkan prestasi dan mempamer kualiti permainan yang terbaik pada setiap perlawanan,” katanya kepada Harian Metro.

Pertemuan dengan Terengganu FC bukanlah lawan mudah bagi Pahang.

Skuad TFC yang dibarisi dengan beberapa pemain muda dan berpengalaman mampu memberi kejutan kepada skuad Tok Gajah.

Tambahan pula, pemain tengah berdarah kacukan Britain-Malaysia, Lee Tuck bakal kembali membarisi skuad TFC pada aksi bertemu Pahang nanti selepas digantung satu perlawanan disebabkan kad merah yang dikutip oleh beliau pada musim lalu.

Beliau jelas tidak sabar untuk turun beraksi membantu pasukan beliau untuk aksi kedua Liga Super.

“Ya saya dah tak sabar dan bersedia kembali beraksi buat kali pertama pada musim ini selepas agak malang terlepas aksi pertama liga kerana digantung satu perlawanan.

“Kebetulan pula dalam perlawanan pertama saya ini, kami bertemu pasukan yang kuat dan selalunya akan berlaku pertarungan sengit sebagaimana musim lalu.

“Saya pasti stadium akan penuh dengan kedua-dua penyokong, jadi saya gembira dan berharap kami dapat mengutip tiga mata,” kata Tuck, pemain paling popular dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018.

Beliau turut mengulas lanjut penyerang berbisa Pahang, Dickson Nwakaeme yang berjaya meledakkan dua gol pada aksi pembukaan Liga Super menentang Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Saya akui bukan mudah untuk kami mengutip mata kerana Pahang mempunyai Dickson Nwakaeme dan dia begitu berbahaya di posisi serangan apatah lagi bergandingan pula dengan Mohamadou Sumareh.

“Oleh itu kita harus mengekang Matthew Davies daripada membuat hantaran dan fokus bahagian kiri kerana mereka agak laju pada sebelah itu selain mereka gemar menyerang dari tengah,” katanya kepada Harian Metro.