Luar Negara Berita

Mimpi Buruk PSG Menjelang Pertemuan Dengan United

Pertemuan Paris Saint-Germain dengan Bordeaux pada hari Sabtu ini adalah peluang terakhir buat mereka untuk memperbaiki beberapa kelemahan sebelum pertembungan dengan Manchester United minggu hadapan.

Tetapi pendahulu Ligue 1 mempunyai beberapa isu yang tidak dapat dielakkan menjelang pertemuan dengan United di Old Trafford.

PSG merupakan pasukan pilihan apabila undian Pusingan 16 Liga Juara-Juara dibuat, namun banyak perubahan telah berlaku buat PSG dalam lapan minggu ini.

Manakala United telah memperagakan aksi terbaik dengan sembilan kemenangan dan satu seri sejak Jose Mourinho dipecat dan Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai penggantinya. Mereka kemungkinan akan mencipta keajaiban pada perlawanan pertama nanti menentang PSG.

Sementara itu, anak buah Thomas Tuchel berada selesa di puncak liga dengan perbezaan 10 mata dengan berbaki dua perlawanan di dalam tangan. Mereka dalam persiapan mengalukan kedatangan pasukan Bordeaux  ke Parc des Princes.

Bagaimanapun, pasukan yang dipenuhi bintang tersebut memerlukan masa tambahan untuk menundukkan Villefranche-sur-Saone, 3-0 dalam aksi Piala Perancis, Rabu lalu. PSG dilihat bertambah goyah apabila rekod tanpa kalah mereka lebur setelah tewas 2-1 ke atas Lyon.

Mereka juga tersingkir daripada Piala Liga setelah tewas keatas Guingamp pada saingan suku akhir bulan lalu dan sejak itu mereka telah kehilangan pemain paling bernilai buat pasukan, Neymar akibat kecederaan yang dialami oleh beliau.

Pemain kelahiran Brazil hanya boleh membarisi kesebelasan utama PSG pada awal April nanti.

Melihat kepada beberapa nasib buruk yang menimpa pasukan beliau, Tuchel mengakui bahawa skuadnya telah melalui jadual yang padat serta tidak mempunyai rehat yang cukup.

“Kami terlalu bergantung kepada pemain berkualiti tinggi,” kata pengendali daripada Jerman.

“Kami tidak boleh membuat kesalahan untuk menjangkakan terlalu besar daripada pemain seperti (Eric Maxim) Choupo-Moting, yang tidak banyak bermain.”

PSG adalah salah satu kelab terkaya di dunia, membelanjakan dua yuran perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak untuk menarik Neymar dan Kylian Mbappe pada 2017, tetapi pasukan yang dimiliki oleh ahli perniagaan Qatar ini tidak melabur di bahagian lain skuad mereka.

Kawasan tengah adalah kebimbangan terbesar PSG, meskipun pemain antarabangsa Argentina, Leandro Paredes sudah membuat aksi sulung menentang Villefranche setelah melakukan perpindahan dari Zenit Saint Petersburg dengan nilai harga sebanyak € 47 juta ($ 54 juta).

Mereka masih kekurangan pemain di kawasan terbabit. Dengan Adrien Rabiot yang dilaporkan menolak untuk kekal bersama PSG, manakala Marco Verrati yang terpaksa diketepikan dalam tempoh tiga minggu disebabkan kecederaan.

“Verratti tidak dapat menghabiskan latihan (pada hari Selasa). Dia mempunyai masalah, dan kita perlu menunggu untuk melihat apakah dia boleh bermain menentang Bordeaux, “kata Tuchel pada malam Rabu.

“Dia mempunyai masalah yang berbeza sekarang, tetapi saya tidak tahu terlalu banyak.”