Penyerang utama Vietnam, Nguyen Cong Phuong telah menandatangani kontrak dengan kelab Korea, Incheon United dalam perjanjian pinjaman selama satu tahun dari Hoang Anh Gia Lai selepas persembahan mengagumkan di Piala AFF 2018 dan Piala Asia AFC 2019.
Sumber terdekat kami yang berpangkalan di Korea menyatakan bahawa Cong Phuong dijangka mengisi kuota pemain AFC untuk pasukan Incheon United, menggantikan pemain sayap Australia, Kwabena Appiah, yang membuat 27 penampilan untuk musim lalu.
Penyerang tersebut telah membantu Vietnam memenangi Piala AFF 2018 serta persembahan yang konsisten ketika kempen Piala Asia 2019.
Justeru, ia memikat beberapa kelab Asia untuk mendapatkan khidmat beliau.
Cong Phuong mula menunjukkan bakat beliau pada aksi cemerlang kejohanan AFC B-23 dan Sukan Asia tahun lalu. Beliau membawa pasukan Golden Dragons ke pusingan akhir AFC B-23 menentang Uzbekistan. Biarpun sekadar meraih naib juara, ia adalah suatu kebanggaan buat negara tersebut.
Setelah itu, pemain berusia 24 tahun ini menyempurnakan pencapaian tersebut dengan memainkan peranan penting untuk pasukan senior setelah berjaya memenangi Piala AFF 2018 dan membuat kejayaan bersejarah pada suku akhir Piala Asia 2019.