Liga Super Malaysia Berita

JDT Naik Tangga Pertama, Kedah Kekal Di Kedudukan Kedua

Bermain dihalaman sendiri gagal dimanfaatkan oleh pasukan Perak apabila mencatat keputusan seri dengan Kedah pada perlawanan malam semalam.

Pasukan Kedah dan Perak turun dengan kesebelasan yang sama pada perlawanan pertama liga minggu lalu.

Biarpun perlawanan sedikit terencat dengan beberapa kekasaran dan pengadil perlawanan yang cedera, perlawanan ini tetap memberi drama yang menarik sepanjang aksi 90 minit.

Perak mendahului seawal minit ke-18 hasil daripada jaringan cantik Brendan Gan yang menyambut bola muntah di luar kotak penalti.

Tetapi gol pertama Perak tidak bertahan lama apabila Kedah bangkit untuk menyamakan kedudukan selang 3 minit selepas itu menerusi Renan Da Silva.

Kedua-dua pasukan memperoleh banyak peluang sepanjang perlawanan tetapi gagal disudahkan dengan baik sehingga kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Manakala di Larkin pula, Johor Darul Ta’zim mudah meratah skuad Ibu Kota dengan jaringan 4-1 malam semalam.

Biarpun turun tanpa kelibat jentera tengah mereka, Natxo Insa, anak buah Luciano Figuero tetap bersemangat untuk memburu tiga mata penuh. Beliau hanya membuat satu pertukaran dengan memasukkan Afiq Fazail, manakala di posisi lain diwakili pemain yang sama ketika menang ke atas perak tempoh hari.

Kelebihan beraksi di laman sendiri tidak disiakan oleh Harimau Selatan apabila mudah mengawal permainan dari seawal wisel permaianan.

Gol yang dijaringkan oleh Gonzala Cabrera, Syafiq Ahmad, Diogo Luis Santo dan Azrif Nasrulhaq sudah cukup untuk membuatkan JDT naik ke persada Liga Super.

JDT naik ke tangga pertama Liga Super manakala Kedah kekal di belakang JDT dalam masa 24 jam sebelum beberapa perlawanan tumpuan seperti Pahang bertemu Terengganu dan PKNS FC bertemu Melaka yang boleh mengubah kedudukan Kedah selepas ini.