Berita Asian Cup

Almoez Ali Cipta Rekod Piala Asia

Penyerang berbisa Qatar, Almoez Ali mencatat namanya dalam sejarah Piala Asia 2019 apabila berjaya menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan ini berlangsung setelah berjaya membawa pasukannya ke pentas akhir Piala Asia 2019 dengan menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 4-0.

Penyerang muda yang berusia 22 tahun ini meledakkan gol pada minit ke 37 menjadikan beliau penjaring terbanyak dalam edisi tunggal kejohanan Piala Asia dan menyamai rekod penyerang Iran, Ali Daei.

Tahun lalu, beliau memenangi anugerah kasut emas selepas menjadi penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-23. Pada kempen Piala Asia, Ali mencatat meledakkan lapan gol dalam enam penampilan Piala Asia bersama Qatar.

Jaringan beliau pada minit ke 37 memberi kedudukan yang selesa buat skuad kendalian Felix Sanchez yang menamatkan separuh masa pertama, 2-0 sebelum menambah dua gol lagi pada separuh masa kedua.

Beliau yang menyamai rekod Ali Daei pada peringkat separuh akhir dilihat bakal memecahkan rekod tersebut menjelang perlawanan akhir, Jumaat ini di Stadium Bandaraya Zayed Sports, Abu Dhabi.