Malaysia Berita

Tolong Kami, Bantu Kami

Isu tunggakan gaji yang melanda pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tampak seperti tiada noktah dan penghujung.

Antara pasukan yang dilanda tunggakan gaji adalah Terengganu City FC (TCFC) yang dikatakan tidak membayar gaji para pemain selama lebih lapan bulan.

Kemuncak kemelut TCFC ini kelihatan lebih parah apabila Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) dan syarikat Tulangis Group menafikan yang mereka adalah pemilik kelab berkenaan.

Bekas pemain TCFC, Zairo Anuar Zailani dalam satu kenyataan yang dibuat kepada Berita Harian merayu agar pihak yang bertanggujawab tampil untuk menjelaskan tuntutan gaji mereka.

“Selain mahu campur tangan daripada kerajaan negeri, kami juga memohon jasa baik Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membantu kami kerana pasukan TCFC juga adalah ahli gabungan PBSNT.

“Sebagai ahli gabungan PBSNT mana kebajikan kami? Kami ada kontrak hitam putih dengan kelab kami, bantulah kami usah biarkan kami keseorangan menuntut hak, siapa lagi perlu dengar rintihan kami jika tidak persatuan?

“Ini kerana aduan sudah dibuat kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan kerajaan negeri, namun setakat ini semuanya hampa malah bayang pun tidak nampak,” katanya.

Beliau juga menganggap pihak pengurusan TCFC seperti kacang lupakan kulit dan tidak menghargai para pemain yang telah memberi trofi kejuaraan kepada pasukan tersebut.

“Tapi kini bukan setakat nak hargai atau nak tolong, tanya khabar pun tidak seolah-olah kami tidak ada sumbangan langsung kepada negeri sebelum ini.

‘Kami harap PBSNT bantu kami, lihat kesusahan kami, bukannya  mengambil sikap membisu dalam hal ini lagipun surat sudah dihantar kepada kerajaan negeri dan PBSNT,” ujar Zairo kepada Berita Harian.