Luar Negara Berita

Petr Cech Ucap Selamat Tinggal

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech mengumumkan akan bersara pada penghujung musim Liga Perdana selepas 20 tahun berkhidmat sebagai pemain profesional dan telah memenangi beberapa piala dalam karier.

Antara penjaga gawang terhebat di dunia, pemain berusia 36 tahun itu menyertai Gunners dari kelab London, Chelsea pada 2015 dan memegang beberapa rekod Liga Perdana, termasuk rekod tanpa bolos (202 dalam 443 penampilan).

“Ia sudah 20 tahun sejak saya menandatangani kontrak profesional pertama saya, jadi ia terasa seperti masa yang tepat untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara pada akhir musim ini,” kata Czech di Twitter.

“Setelah bermain selama 15 tahun dalam Liga Perdana, dan memenangi setiap trofi, saya rasa saya telah mencapai semua yang saya mahukan,” katanya.

Cech memulakan musim ini sebagai penjaga gol utama tetapi gagal dalam meyakinkan Unai Emery selepas beliau pulih daripada kecederaan dengan Bernd Leno menjadi penjaga gol utama menggantikan beliau.

Pemenang Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris ini telah terhad kepada penampilan Piala sejak pulih daripada kecederaan.

Cech menyertai Chelsea dari pasukan Perancis Rennes pada Julai 2004 dan membantu mereka memenangi empat gelaran Liga Perdana, empat Piala FA, tiga Piala Liga, Liga Juara-Juara UEFA dan Liga Europa.

Dia juga mengalami retak ditempurung kepala semasa turun menentang Reading pada tahun 2006, yang membawa kepada beliau memakai penutup kepala.

Dengan Arsenal, Cech telah memenangi satu Piala FA dan dua Community Shields.

Cech menyimpan sejumlah 228 rekod tanpa bolos dengan Chelsea dalam semua pertandingan, sebelum dia turun di belakang Thibaut Courtois.

Dia masih memegang rekod Liga Perdana untuk rekod tanpa bolos dalam satu musim (24) dan 1,024 minit tanpa bolos pada 2004-05, satu penanda aras yang sejak itu gagak dilepasi oleh mana-mana penjaga gol.