Malaysia Berita

MFL Mahu Penjelasan KLFA

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menuntut Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) memberi penjelasan berkenaan isu yang mendakwa KLFA gagal melunaskan gaji segelintir pemain.

Ia berikutan kontroversi yang melanda perpindahan Syazwan Andik sebelum ini sehingga membawa kepada pendedahan mengejut bahawa KLFA tidak membayar gaji pemain selama dua bulan.

MFL dalam satu kenyataan meminta agar KLFA mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan isu terbabit sebelum ia dibawa kepada pengetahun Ahli Lembaga Pengarah.

“Merujuk laporan akhbar tempatan bertajuk ‘Selidik dulu’ bertarikh 15 Januari 2019 (hari ini), MFL menafikan kenyataan dikeluarkan Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan.

“Kamarudin dalam artikel itu menyatakan bahawa MFL bersedia mengambil tindakan dengan menyekat geran tahunan KLFA tanpa meminta sebarang penjelasan daripada pihak mereka.

“Bagaimanapun MFL sudah mengeluarkan kenyataan yang dikeluarkan dalam satu laporan akhbar tempatan bertajuk ‘KLFA berdepan pemotongan geran’ bertarikh 14 Januari 2019.

“Dalam laporan itu, MFL menuntut penjelasan terperinci daripada KLFA sebelum kes berkenaan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah untuk mengambil tindakan termasuk menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran bagi mereka melangsaikan sebarang tunggakan,” jelas kenyataan itu.