Malaysia Berita

Perlis Diberikan Masa 60 Hari Selesaikan Tunggakan Gaji

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) diberi masa 60 hari untuk menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain mereka yang dilaporkan sebelum ini.

Persetujuan itu dicapai lebih awal sebelum isu ini hangat dengan PFA dilaporkan bersetuju dengan perjanjian yang dibuat dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 28 Disember lalu.

Dalam pada masa yang sama, MFL mengumumkan akan menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran untuk PFA menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain tersebut.

Memetik kata-kata Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad kepada Berita Harian, “Tuntutan pemain Perlis itu sebenarnya sudah ada dalam perjanjian bersama antara MFL dan PFA, ini bukan tuntutan baharu. Kami sudah mencari jalan untuk mengatasi masalah itu.

“PFA sudah memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum sepak mula Liga Malaysia musim 2019,

“PFA masih memiliki tempoh masa untuk menyelesaikan masalah itu dan jika mereka gagal berbuat demikian, MFL akan menggunakan geran tahunan mereka bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.” Katanya.

Sebelum ini dilaporkan didada akhbar dimana sebahagian 18 pemain Perlis yang beraksi dalam saingan Piala FAM musim lalu tidak dibayar gaji seperti yang dijanjikan oleh pihak PFA.

Para pemain tersebut juga dilaporkan terpaksa membuat kerja lain seperti nelayan dan berniaga burger untuk menampung kehidupan mereka.

“Kami tahu ada pihak yang masih mempertikaikan status Perlis sebagai pasukan Liga Perdana, tapi kami benarkan penyertaan mereka berdasarkan kriteria tertentu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Perdana berdasarkan dokumen perancangan pasukan termasuk aspek kewangan.

“Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

“Jadi Perlis dipilih kerana memiliki penyokong lebih ramai dan jumlah hutang mereka sedikit,” katanya kepada Berita Harian.