Malaysia Berita

FAM Minta Bantuan AFC

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal dibantu oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi memperkemaskan hala tuju FAM berkaitan statut, peraturan, urus tadbir dan kod tatatertibe persatuan itu.

Ia adalah salah satu langkah awal FAM bagi mencapai pelaksanaan Peta Hala Tuju F:30 dalam hal berkaitan tadbir urus.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan media dimana bantuan yang diperolehi daripada AFC bukan sahaja bagi melancarkan urus tadbir, tetapi bagi memastikan setiap perubahan selari dengan piawaian antarabangsa.

“Sokongan dan tunjuk ajar daripada pakar perundangan itu diperlukan FAM bagi mengemas kini, memperbaiki, menyusun serta memperkukuhkan statut, peraturan dan kod tatatertib sedia ada untuk memenuhi tuntutan semasa bagi menepati piawaian antarabangsa dan amalan tadbir urus terbaik.

“Ia bagi memastikan statut, peraturan dan kod tatatertib FAM berada selari dengan kemaskini terbaharu daripada AFC mahupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus dapat mengelak daripada berlakunya isu atau pertikaian terhadap sesuatu peraturan.

“Justeru AFC menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John menjawab permohonan FAM itu dan menyatakan kesediaan mereka untuk memberi bantuan serta sokongan pakar kepada FAM bagi memperkasakan statut, peraturan dan kod tatatertib,” kata Stuart kepada Berita Harian.

Katanya, perbincangan diantara FAM dan AFC bakal dilakukan selepas Piala Asia 2019, 1 Februari ini bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

“FAM berharap usaha dan langkah yang dilakukan ini dapat menjawab permintaan daripada industri bola sepak di negara ini yang mahukan statut, peraturan dan kod tatatertib FAM sedia ada dikemas kini dan diberi penambahbaikan,” katanya.