Liga Super Malaysia Berita

Nguyen Yakin Selangor Mampu Bersaing

Kehadiran pemain import baharu Selangor, Michal Nguyen dilihat bakal memberi kelebihan buat skuad The Red Giants yang bakal bersaing bagi merebut Liga Super musim ini.

Beliau yang pernah berkhidmat bersama Air Force Central sebelum ini dilihat bakal mengisi kelemahan pertahan pasukan Selangor yang dilihat goyah musim lalu.

Pemain kelahiran Republik Czech ini juga mempunyai kelebihan fizikal serta mampu untuk beraksi sebagai pertahanan kanan dan pemain tengan bertahan.

Pemain berusia 29 tahun ini telah tampil dalam lebih 150 perlawanan profesional bertaraf tinggi untuk FK Banit Most, Becamex Binh Duong, dan yang terbaru, Air Force Central.

Nguyen yang beraksi bersama pasukan Vietnam menyatakan bahawa beliau percaya dengan pengalaman dan barisan pemain muda, Selangor mampu untuk bersaingan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Saya beraksi di Thailand musim lalu jadi saya tahu pasukan di negara itu sememangnya akan memberikan saingan sengit kepada Selangor.

“Ini peluang yang bagus untuk menjadi bertambah baik. Dengan kelompok pemain berkualiti seperti legenda Amri Yahyah dan pemain muda Syahmi Safari, saya yakin kami mampu mencipta sesuatu musim ini,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran beliau adalah untuk membantu pemain tempatan serta mempelajari sesuatu daripada pemain lain.

Bagi beliau, pengetahuan serta ilmu yang dimilikinya dalam bola sepak akan digunakan bagi membantu memantapkan pasukan musim ini.

“Ia bukan persaingan namun ia lebih kepada saya membantu pemain tempatan dan pada masa sama, pemain tempatan turut membantu saya menjadi lebih bagus.

“Itulah yang akan saya lakukan bersama pasukan ini. Sebab itulah saya berada di Selangor. Malah, satu penghormatan yang besar untuk mewakili pasukan dengan reputasi tinggi seperti Selangor,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau adalah pemain import kelima yang dimiliki oleh Selangor. Nguyen akan mengisi slot kuota import ASEAN dan menyertai pemain import lain seperti Rufino Segovia, Antonio German, Endrick dos Santos dan Taylor Regan.