Berita Asian Cup

Eriksson Jumpa Lippi Dalam Misi Hidup Mati Filipina

Persahabatan diantara Marcello Lippi dan Sven-Goran Eriksson terpaksa dilupakan apabila kedua-dua pasukan kendalian mereka bakal bertemu pada perlawanan kedua Piala Asia 2019, Jumaat ini.

Pengendali negara China, Lippi bakal bertembung dengan pasukan Filipina yang berada dibawah kendalian rakan beliau Errikson dengan kedua-dua mereka hadir dengan misi untuk mencipta kemenangan pada edisi Piala Asia kali ini.

China dilihat lebih baik pada kempen kali ini apabila berjaya menewaskan Kyrgyz Republic 2-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan manakala Filipina pula tewas 1-0 ke atas Korea Selatan

Eriksson berkata kepada media bahawa Lippi adalah seorang sahabat yang baik dan mereka telah bertembung beberapa kali di Itali dan juga China.

“Saya menghormati dia dan dia kawan baik tetapi esok pada pukul 5.30 petang, persahabatan kita perlu mengambil tempat duduk belakang untuk seketika. Saya berharap dia baik tetapi tidak untuk esok,” kata Eriksson, yang telah ditugaskan oleh Filipina untuk memastikan penampilan sulung mereka dalam Piala Asia 2019 adalah satu yang perlu diingat.

China bakal turun dengan sepenuh kekuatan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dan mereka juga akan memastikan bahawa perlawanan esok tidak mudah buat Filipina.

Filipina juga akan sentiasa berwaspada. Pasukan kendalian Erriksson tidak mahu kekalahan 8-1 pada edisi Piala Asia yang lalu berulang dan berharap anak buah beliau beraksi dengan baik.

“Saya harap kami tidak kalah 8-1 kali ini kerana ia akan menjadi bencana. Kami tidak akan kalah 8-1 kerana saya pasti kami akan memberi China perlawanan yang sengit.

“Para pemain sangat teruja dengan perlawanan ini, terutamanya selepas penampilan kami menentang Korea Selatan. Ini adalah peluang bagi mereka untuk membuktikan diri mereka lagi.

“Generasi ini mempunyai begitu banyak kemampuan dan saya yakin dalam 10 tahun, bola sepak akan menjadi lebih penting di Filipina,” tambah Eriksson.

Beliau juga menyatakan bahawa gembira berada di Filipina biarpun dalam waktu yang singkat.

“Ini adalah tugas yang singkat tetapi saya menyukai cabaran ini. Pemain-pemain hebat dan kami mempunyai tugas untuk melakukannya dan kami akan melakukannya.”

Setelah melatih Shanghai SIPG dalam Liga Super China, Eriksson mempunyai pengetahuan tentang pasukan China tetapi jurulatih kelahiran Sweden itu mengatakan ia tidak akan menjadi kelebihan.

“Ya, saya tahu bola sepak China dan saya kenal tiga pemain dalam skuad mereka tetapi dalam permainan hari ini, tidak ada rahsia. Lippi akan tahu tentang kami dan kami akan tahu mengenai China.”

Lippi, yang juga akan meninggalkan China selepas kempen Piala Asia berkata dia tidak sabar untuk menghadapi Filipina yang diketuai oleh Eriksson.

“Kami telah mengenali antara satu sama lain sejak saya bersama Juventus dan ia akan menjadi baik untuk menghadapi pasukan lain yang diketuai olehnya. Ia akan menjadi satu cabaran tetapi saya percaya pada pasukan saya dan kami yakin akan mendapat peluang.

“Tiga lagi mata akan mengukuhkan lagi kedudukan kami di peringkat kalah mati dan pemain bertekad untuk memperbaiki prestasi mereka selepas menentang Republik Kyrgyz.”

Berita baik untuk China ialah penyerang mereka, Wu Lei kemungkinan akan diturunkan. Manakala Lippi meminta pasukan beliau agar beraksi dengan baik dan memulakan permainan dengan keghairahan untuk menang.

“Filipina memainkan gaya bola sepak Eropah kerana mereka sangat fizikal dan kuat. Kita perlu memadankan gaya permainan mereka dan saya telah memberi penekanan kepada pemain.”