Malaysia Berita

Kalau nak Sijil Perpindahan Pemain, minta dekat FAM – KFA

Drama bintang muda negara, Akhyar Rashid yang sekarang sudah mula menjalani latihan dengan pasukan Harimau Selatan nampaknya akan terus berpanjangan.

Beliau yang berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa ‘restu’ Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mungkin tidak dapat beraksi bersama skuad Harimau Selatan. Hal ini kerana, Sijil Perpindahan Pemain (SPN) belum dikeluarkan oleh KFA untuk membolehkan beliau beraksi bersama JDT.

Memetik kata-kata Setiausaha Kehormat KFA kepada Harian Metro, Mohd Asmirul Anuar Aris ketika diminta mengulas lanjut mengenai SPN milik Akhyar berkata bahawa pihak mereka tidak akan mengeluarkan SPN untuk Akhyar. Malah KFA meminta agar pihak JDT memohon kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kalau nak SPN, minta dekat FAM.” Katanya

Beliau juga menyatakan bahawa Akhyar masih milik KFA kerana beliau mempunyai baki kontrak sehingga penghujung 2019.

“KFA tetap dengan pendirian, dia masih mempunyai kontrak dengan KFA sehingga penghujung 2019. Jadi kalau mahu juga SPN, mereka boleh sahaja minta kepada FAM.

“Sebab berdasarkan peraturan FAM, pusing ‘kut’ mana pun FAM boleh berikan SPN kepada pemain walaupun tidak diizinkan oleh pasukan asal. Ikut merekalah nak buat macam mana pun.” katanya kepada Harian Metro.

Akhyar yang beraksi cemerlang bersama skuad Kedah sebelum ini adalah antara bintang muda yang dilahirkan oleh akademi Kedah. Beliau yang beraksi bersama Kedah sebanyak 20 penampilan dan menjaringkan 3 gol bersama skuad Helang Merah tersebut dilihat antara pelapis skuad senior.

Asmirul ketika bercakap kepada Harian Metro menjelaskan bahawa pihak KFA tiada masalah jika beliau mahu berpindah ke pasukan lain. Tetapi apa yang menjadi masalah adalah cara perpindahan yang menggunakan ‘pintu belakang’ seolah-olah tidak menghormati pihak KFA dan kontrak yang masih berbaki dengan KFA.

“Seperti yang selalu saya katakan sebelum ini. Kami tidak ada masalah dengan Akhyar mahu beraksi dengan pasukan lain.”

KFA juga merasa bahawa keputusan jawatankuasa FAM mengenai Status dan Rayuan sebelum ini berat sebelah. Tambahan pula FAM tidak menjemput wakil KFA dalam mesyuarat berkenaan.

“Cuma isunya kami tidak berpuas hati dengan cara ‘pintu belakang’ dan juga dua keputusan FAM iaitu Status dan Rayuan yang membuat keputusan berat sebelah tanpa menjemput wakil kami dalam mesyuarat itu.” katanya kepada Harian Metro.