MFL sudah bersedia memperkenalkan format baharu Liga Malaysia yang menyaksikan kalendar akan bermula pertengahan 2024 dan berakhir pada pertengahan 2025.
Ini setelah jadual Liga Malaysia musim 2023 akan berakhir pada bulan Disember, dengan skuad kebangsaan mengharungi Piala Asia pada bulan Januari 2024.
Beberapa negeri Pantai Timur juga berdepan ancaman banjir ekoran musim tengkujuh awal tahun depan.
Malah, bulan Ramadan akan bermula awal Mac dan menyambut Aidilfitri pada awal April tahun depan.
Disebabkan itu, MFL dalam perbincangan bersama kelab bola sepak tanah air untuk memulakan perubahan itu bermula tahun depan.
“Ia juga untuk selarikan tempoh rehat dan memastikan persembahan pasukan kebangsaan, pasukan bawah umur dan yang menyertai Piala AFC dalam keadaan baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
“Kami sedang membuat kajian untuk memastikan kalendar kita adalah selari, kita tahu kalendar antarabangsa ada beza dari segi iklim dan konteks tempatan yang diperlukan.”
MFL akan mengumumkan perkara berkenaan lebih lanjut bulan depan selepas segala perbincangan melibatkan kelab dan pihak berkepentingan selesai.
Pada masa sama, Stuart berkata MFL akan memastikan musim baharu dimulakan tanpa sebarang isu tunggakan gaji.
Katanya, tindakan akan dikenakan ke atas mana-mana pasukan yang berdepan kes tunggakan gaji sekiranya mereka tidak menyelesaikan masalah itu sebelum musim ini berakhir.