Liga Super Malaysia Berita

Pemilik PJ City: Lebih bagus kalau Liga Malaysia tiada import langsung

Pemilik PJ City FC, Datuk Seri Vijay Eswaran menyifatkan Liga Malaysia akan berkembang lebih baik tanpa khidmat pemain import.

Ini selepas PJ City kekal menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan tenaga pemain tempatan sepenuhnya di Liga Super untuk musim ini, selepas menduduki tangga ke-7 musim lalu.

Katanya, perkara itu boleh dibuktikan menerusi larangan pemain import pada 2009 hingga 2011 yang menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan muncul juara buat kali pertama dalam Piala AFF pada 2010 manakala skuad Bawah 23 tahun kebangsaan meraih emas dua kali berturut-turut pada Sukan SEA 2009 dan 2011.

“Pada 2009 sehingga 2011 ketika liga tempatan tidak benarkan mereka beraksi, pasukan Malaysia ternyata bermain sangat baik ketika itu,” katanya kepada Bernama.

“Kebergantungan kepada pemain import tidak boleh naik taraf bola sepak kita.

“Kita perlu mengubah cara kita bertindak sekarang, jika kita tidak berubah, tiada apa yang akan berlaku.”

Justeru, Vijay mencadangkan, kuota pengambilan pemain import boleh dikurangkan kepada tiga pemain terlebih dahulu.

“Saya lebih suka tiada pemain import langsung dalam liga tempatan tapi kalau nak ambil jurulatih asing tidak menjadi masalah.”

Setakat ini, Liga Super dibenarkan mendaftar lima pemain import manakala empat pemain import dibenarkan bagi pasukan Liga Premier.