Tan Cheng Hoe mengingatkan kepada anak buahnya bahawa ujian sebenar skuad Harimau Malaya bukanlah pasukan Gajah Perang, tetapi Vietnam.
Malaysia yang pernah tewas sekali dengan Vietnam pada peringkat Kumpulan A bakal berhadapan dengan Vietnam sekali lagi bagi pertemuan di pentas final Piala AFF Suzuki 2018.
Beliau menyatakan bahawa Vietnam adalah pasukan pilihan kerana mereka berada di ranking yang ke-100 dunia dan menganggap Malaysia sebagai underdog.
“Pada peringkat awal lagi saya menyatakan Vietnam sebagai pasukan pilihan, mereka bukan secara kebetulan dalam ranking 100 terbaik dunia.
“Pasukan mereka dalam tiga, empat tahun ini bermain cukup baik pada tahap berlainan dan layak ke Piala Asia, begitu juga Filipina. Saya masih anggap kita sebagai ‘underdog,” katanya kepada Berita Harian.
Malaysia yang ke pentas final sebanyak empat kali – 1996, 2010, 2014 dan 2018 – dan memenangi piala AFF Suzuki sekali dibawah kendalian K.Rajagopal bakal berdepan misi sukar pada pertemuan dengan Vietnam nanti.
Bagi Tan Cheng Hoe, ia adalah satu cabaran besar buat beliau setelah bergelar sebagai jurulatih skuad negara.
“Ini perlawanan yang paling mendebarkan bagi saya sepanjang bergelar pemain dan jurulatih. Bila Thailand jaringkan gol, kita bangkit mengikat kedudukan dua kali. Pada minit akhir perlawanan mereka mendapat sepakan penalti tapi tak masuk.
“Dan bila kita layak ke final, sasaran kita nak jadi juara, tidak kira pemain beraksi dalam apa saja pertandingan. Bukan jaminan kita menang dengan Thailand kita pasti juara, dalam bola sepak kita kena kekal fokus dan berdisiplin,” jelas Cheng Hoe kepada Berita Harian.