Pengurus England, Gareth Southgate membawa pemainnya menjalani latihan seminggu di Pusat Latihan Komando Marin Diraja di Devon, barat daya England. Pasukan dan kakitangan The Three Lions itu menghabiskan masa selama 48 jam dengan memakai pakaian seragam tentera dan melakukan cabaran seperti berkhemah di luar semalamam dan melengkapkan kursus berhalangan yang memenatkan.
“Ia amat sukar, namun ia antara pengalaman paling berharga yang pernah saya peroleh,” kata seorang penjaga gol kepada pemberita di pusat latihan England St George’s Park di Burton-on-Trent.
“Kami dapat menyelami cara hidup mereka, bagaimana mereka melakukan perkara sekeliling, nilai mereka dan betapa kukuhnya ikatan kekeluargaan mereka. “Saya rasa sebagai pasukan dan pemain, kami mendapat manfaat daripadanya.
“Mereka bercerita mengenai sesuatu yang dipanggil harapan yang terputus, bermakna faktor kejutan. “Anda dibawa keluar daripada zon selesa dan dapat menampilkan prestasi sebagaimana anda mampu lakukan ketika berada dalam keadaan kepenatan. “Ia cabaran yang besar buat kami dan kami dapat hadapinya bersama.”
Southgate memberitahu kepada laman web Persatuan Bola Sepak England, “Kami mahu datang dan meletakkan pemain ini dalam persekitaran berbeza, sesuatu yang mereka tidak jangkakan. “Kami mahu dedahkan mereka dengan persekitaran elit bersama salah sebuah pasukan elit di dunia. Kami mahu mereka menyaksikan ada dunia lain di luar sana.”
England bakal bertemu seteru lama, Scotland dalam kelayakan Piala Dunia di Glasgow Sabtu ini, sebelum bertemu Perancis dalam aksi persahabatan di Paris pada Selasa.
sumber: berita harian