PKNS FC, pencabar utama Liga Super musim lepas mengumumkan akan mengekalkan 11 pemain termasuk tonggak import bagi saingan Liga Super musim hadapan.
Kelab yang diuruskan badan korporat dan profesional ini berjaya bersaing dalam saingan Liga Super musim lalu apabila berjaya berada ditangga ketiga dibelakang Johor Darul Ta’zim dan Perak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PKNS di laman rasmi Facebook kelab, daripada 11 pemain yang dikekalkan, lapan daripadanya adalah pemain muda yang berusia 25 tahun ke bawah.
Antara pemain yang dikekalkan adalah – Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (penjaga gol), Tauffiq Ar Rasyid (penjaga gol), Rodney Calvin Akwensivie (pertahanan tengah), Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (pertahanan kiri), Mohd Faizat Mohamad Ghazli (pemain sayap), Muhammad Alif Haikal (pemain sayap), Muhammad Jafri Firdaus Chew (penyerang) dan awang import Romel Morales Ramirez (pemain tengah).
Rajagopal turut mengekalkan tiga pemain senior – Nik Mohd Shahrul Azim (pertahanan kanan), P Gunalan (pertahanan kanan) dan K Gurusamy (pemain tengah) – kerana percaya pengalaman mereka masih ditagih
“Berdasarkan perubahan lanskap bola sepak negeri Selangor dan juga Malaysia, PKNS FC akan bersaing dengan cara yang berbeza.
“Antara langkah wajar dirasakan perlu adalah dengan pemotongan bajet termasuk gaji pemain yang ditetapkan secara siling.
“Walaupun begitu, PKNS FC tetap optimis kejayaan mampu dicapai dengan dengan beberapa musim sebelum ini PKNS FC beroperasi dengan bajet sederhana, asalkan pasukan diurus tadbir secara korporat dan profesional,” kata kenyataan itu.