Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Jangan Terlalu Menghormati Pihak Lawan – Syahmi Safari

Pemain pertahanan negara, Syahmi Safari mengharapkan Harimau Malaya berjaya untuk menewaskan Thailand pada aksi separuh akhir kedua, Sabtu ini di Bangkok.

Pemain muda negara yang mula mencuri tumpuan apabila berjaya menyajikan aksi yang konsisten selama kempen Piala AFF berlangsung berazam akan membantu pasukan negara dalam pencarian gol awal.

Tambah beliau lagi setiap pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi tekanan daripada penyokong Thailand apabila bakal beraksi di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

“Kami banyak mencipta peluang (pada aksi di Bukit Jalil), cuma rezeki belum sampai lagi untuk kami menjaringkan gol dan ada beberapa aspek yang perlu kami pertingkatkan terutama dalam melakukan penyudah.

“Moral semua pemain dalam keadaan baik, tapi mungkin sedikit kecewa sebab tidak dapat mendapatkan gol di gelanggang sendiri. Tapi masih ada satu perlawanan lagi di Thailand dan kami perlukan jaringan untuk menang.

“Perlawanan di Bangkok akan berlainan dan penyokong Thailand juga pasti akan memenuhi stadium sama seperti penyokong Harimau Malaya di Bukit Jalil.

“Paling penting ketika ini kami perlu menyerap segala tekanan dan tampil dengan aksi lebih baik,” katanya kepada Berita Harian.

Pemain berumur 20 tahun ini menjadi tonggak utama pilihan Tan Cheng Hoe setelah menunjukkan aksi yang konsisten sepanjang kempen Piala AFF Suzuki berlangsung.

Beliau yang bermain dibahagian pertahanan kanan dilihat rajin membantu dalam menyerang dan pantas turun kebawah ketika bertahan.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan rakan sepasukan agar sentiasa fokus pada perlawanan nanti kerana bagi beliau di dalam bolasepak apa sahaja boleh berlaku.

“Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, kami cuma kena kekalkan momentum permainan dan memperbaiki segala kelemahan di Bangkok nanti.

“Kami juga perlu yakin kepada pasukan sendiri dan tidak boleh terlalu menghormati lawan walaupun ramai orang menganggap mereka lebih kuat dari kami,” katanya.

“Semua pemain sudah menunjukkan komitmen tinggi dan bekerja keras pada aksi pertama. Kami tidak melepaskan gol di tempat sendiri dan ia juga menjadi satu kelebihan untuk ke Bangkok.” Katanya kepada Berita Harian.

Untuk rekod, Malaysia hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke final Piala AFF Suzuki dengan peraturan gol ditempat lain.