Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Sanrawat Detchmitr Laung Amaran Buat Malaysia

Perancang tengah Thailand, Sanrawat Detchmitr menyatakan bahawa skuad negara perlu lebih bersedia kerana kelebihan masih berpihak kepada skuad Gajah Perang apabila bakal bermain di halaman sendiri.

Beliau yang memilik tiga bantuan gol dan berada di kedudukan teratas senarai pemain paling banyak membantu dalam mencetak gol tidak ingin kecewa menjelang perlawanan dengan Malaysia di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

“Kami gagal menjaringkan gol kerana tidak berjaya mencipta banyak peluang,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar Thailand, Bangkok Post.

“Sangat membosankan apabila kami lebih bermain secara bertahan dan melakukan kesilapan. Saya faham semua pemain, termasuk saya bosan dengan corak bertahan.

“Tapi kelebihan menjadi milik kami ketika ini apabila tidak melepaskan gol kepada lawan. Keputusan aksi kedua bergantung kepada kami, bukan Malaysia.

“Namun, jika kami masih beraksi seperti itu (aksi pertama), tiada apa yang boleh dikatakan. Kami perlu menang di Stadium Rajamangala.”

Biarpun skuad Gajah Perang gagal mencetak sebarang gol di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. Juara bertahan ini masih dianggap merbahaya apabila mempunyai rekod yang baik di halaman sendiri dengan 14 gol telah berjaya dijaringkan sepanjang kempen Piala AFF.

Kali terakhir Malaysia bertemu Thailand adalah ketika skuad negara tewas secara agregat dengan Thailand pada aksi final Piala AFF Suzuki 2014.